Kitab Muhazzab Karangan Imam Syirazi

Kitab Muhazzab adalah kitab penting di dalam mazhab Syafie dan merupakan rujukan penting para ulama pada kurun ke 4 dan 5 hijrah. Ia telah dikarang oleh Imam as-Syirazi (393 – 476 h) bermula dari tahun 455 hingga selesai pada tahun 469 hijrah iaitu mengambil masa selama 14 tahun. Ia merupakan kitab utama bagi madrasah Syafiiyah di Iraq, seperti mana kitab nihayatul matlab menjadi kitab utama bagi madrasah syafiiyah di Khurasan. Di dalam kitab ini, Imam as-Syirazi telah menyenaraikan semua furuk-furuk yang dibina di atas usul Imam as-Syafie di dalam kitabnya Al-Um dengan disertakan sekali dalil-dalil bagi setiap furuk.

Kitab Muhazzab ini telah disyarahkan oleh ramai ulama. Jumlah syarah bagi kitab ini mencapai 23 buah. Antara syarah yang terkenal adalah: kitab Majmuk karangan Imam Nawawi dan kitab al-bayan karangan Imam Imrani Al-yamani.

Kitab Muhazzab ini telah dicetak oleh Darul Qalam dengan tahqiq dari Dr Muhammad Zuhaili.

 

27 ramadhan 1433 / 16 Ogos 2012

Paya Jaras

4.19 a.m

Jaulah kitab: أصول الدعوة (Usul ad-Dakwah) karangan Dr Abdul Karim Zaidan

Kitab ini menceritakan tentang dakwah dan pengertiannya yang mendalam, seterusnya sistem-sistem yang terdapat di dalam Islam seperti: Nizom Al-akhlak, Nizom Ijtimai, Nizom Al-ifta’, Nizom Al-Hisbah, Nizom Al-Hukum, Nizom Al-Iqtisodi, Nizom Al-Jihad, dan Nizom Al-Jarimah. Beliau juga menyentuh di dalam fasal kedua tentang pengertian dai’e dan persiapan yang perlu, seperti ilmu yang mantap, keimanan yang mendalam, dan akhlak (sabar, berkasih sayang, dan tawaduk) . Di dalam bab yang ketika beliau menyentuh tentang  Mad’uu (orang yang di dakwah) dimana beliau menghuraikan jenis golongan orang yang di dakwah dan bagaimana pemahaman terhadap setiap golongan ini membantu kepada kejayaan dakwah.  Di dalam bab yang keempat beliau menghuraikan tentang uslub dan kaedah dakwah, cara dan bagaimana kita dapat menjawab segala syubhat, serta targhib & tarhib di dalam Islam. Di dalam bab yang terakhir, beliau cuba membincangkan praktikal dakwah di dalam konteks yang lebih realiti iaitu dakwah di zaman moden di mana beliau menghuraikan elemen realiti kehidupan masyarakat, halangan dakwah dan cara penyelesaiannya.  Buku ini sangat perlu dibaca oleh para ilmuan khususnya para pelajar bagi mempersiapkan diri menghadapi masyarakat.

Pengarang: Dr Abd Karim Zaidan, Cetakan : Muassasah Risalah