Erti kehidupan dalam Redho

Firman Allah s.w.t:

مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِك

Sebuah alunan wahyu ilahi yang membentuk pedoman di dalam jiwa seorang mukmin di dalam kehidupan ini. Bukan sekadar melihat Allah sebagai tuhan yang wajib disembah, tuhan yang maha bijaksana, tuhan yang mengetahui apakah kebaikan dan keburukan bagi manusia lalu diturunkan kepada mereka panduan hidup demi kebaikan mereka agar meraka sampai kepada sang pencipta. Bahkan dengan titik permulaan yang betul ini, seorang mukmin bergerak menuju penciptanya sambil berserah di atas segala kebaikan dan keburukan yang ditakdirkan.

Di dalam kehidupan ini, terdapat pelbagai rahsia yang perlu dicari dan difikirkan oleh manusia agar ianya lebih dinikmati. Kehidupan merupakan satu perhentian seketika, yang akan dilalui oleh semua manusia, sama ada yang beriman maupun yang tidak beriman. Suatu perhentian menuju kehidupan yang kekal abadi. Suatu perhentian untuk mengumpul bekalan, suatu tempat untuk ujian, suatu persinggahan bagi membuktikan ubudiyah seorang hamba kepada tuhannya. Pastinya persinggahan seperti ini mempunyai pelbagai pancaroba, bagi menguji seorang hamba untuk mengenal pelbagai hakikat.

Bagi orang yang beriman, segala ujian adalah perencah yang akan menambah kenikmatan beribadat dan tunduk kepada Allah. Menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Segala kebaikan yang diberikan dijadikan jambatan untuk mensyukuri nikmatNya. Segala kebaikan yang diberikan dijadikan tempat untuk mengenal kemurahan Sang Pencipta. Membentuk rasa cinta mendalam terhadap Rabbul Izzah, melalui proses syukur jawarih dan syukur hati. Mulut tidak berhenti melafazkan zikir, hati tidak berhenti melafazkan syukur, pancaindera tidak berhenti untuk terus membuat amalan dengan beribadat kepada Allah. Umpama cahaya di atas cahaya, seorang mukmin bergerak dari cahaya yang terang menuju cahaya yang lebih terang, kerana di dalam sinaran, ada tingkatannya.

Segala keburukan yang menimpa dijadikan sebagai titik menghisab dan memperhitung diri guna mencari jalan kembali. Atau sebagai tangga untuk membentuk rasa tawaduk dan tunduk kepadanya agar terus naik ke marhalah yang lebih tinggi, kerana menyedari bahawa ujian adalah permulaan bagi sebuah ganjaran. Seperti seorang anak muda yang sanggup melalui segala kepayahan dengan kesabaran demi mencari sebuah kejayaan. Begitulah seorang mukmin memburu marhalah iman yang lebih tinggi. Marhalah keimanan yang tidak mempunyai penghujung, dan tidak akan mampu dicapai ketinggiannya melainkan orang-orang yang diberi taufik oleh Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w di dalam sebuah hadis menggambarkan kepada kita tentang keindahan hidup seorang yang beriman, dengan sabdanya:

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ (صحيح مسلم)

Atau mungkin saja keburukan yang menimpa merupakan suatu kafarah bagi dosa yang dilakukan. Menyucikan diri dari ketelanjuran masa silam. Mengikis saki baki kejahilan yang telah menebal di dalam diri. Ini kerana kejahatan jiwa manusia mampu mengundang bala. Tetapi bala yang datang diterjemahkan dengan sikap yang positif untuk kembali kepada Allah s.w.t. Bukan dijadikan sebagai tempat untuk melepaskan nafsu amarah, lalu mengundang murka di atas murka. Seumpama sebuah kain kotor yang dicuci bersih, atau seumpama seorang anak yang baru dilahirkan, kini kembali di titik permulaan.

Sabar dan syukur silih berganti, menjadi gambaran yang menghiasi kehidupan. Redho dengan ketentuan Allah demi mencapai kemanisan iman. Lalu nikmat kehidupan yang sebenar mampu digapai, walaupun dunia tidak di dalam gengaman.

Solihiyah, 21 June 2010, 4.07 a.m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *