Peranan Sunnah di hadapan Al-Quran

Sunnah Rasulullah mempunyai peranan yang besar di dalam syariat. Antara fungsi-fungsi sunnah adalah:

1- Menerangkan (Bayan) kepada mujmal yang terdapat di dalam al-Quran, menerangkan lafaz yang musykil, mentakhsiskan lafaz ‘am, mentakyidkan lafaz yang mutlak di dalam al-Quran. Contoh:

a. Bayan mujmal: Sepertimana Rasulullah menerangkan dengan sunnah waktu-waktu solat wajib yang lima, menerangkan bilangan rakaat bagi setiap solat dan bagaimana cara mengerjakannya tatkala Baginda bersabda :

صلوا كما رأيتموني أصلي

(solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat)

Begitu juga Baginda menerangkan dengan sunnah kadar harta yang perlu dikeluarkan untuk menunaikan zakat, bilakah harta tersebut wajib dikeluarkan dan apakah jenis harta yang wajib dikeluarkan.

Begitu juga Baginda menerangkan tentang cara dan bagaimana ibadat haji dilakukan, tatkala baginda bersabda :

خذوا عني مناسككم

b. Menerangkan lafaz yang musykil tatkala Baginda menerangkan makna firman Allah:

حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود من الفجر

bahawa ia bermaksud: putih siang dan hitam malam, iaitu makan dan minum dibolehkan sehingga terbit fajar (dan bukan bermakna sehingga jelas perbezaan benang putih putih dari benang hitam).

c. Mentakhsiskan lafaz ‘am (umum) sepertimana Baginda mentakhsiskan lafaz al-Zulm (kezaliman) di dalam firman Allah:

الذين آمنوا ولم يلبسوا إيمانهم بظلم

bahawa ia bermaksud Syirik. Ini kerana sebahagian daripada para sahabat menyangka bahawa makna الظلمdi dalam ayat ini adalah umum merangkumi semua kezaliman sehingga salah seorang daripada mereka bertanya kepada Rasulullah:

وأينا لم يظلم نفسه؟

(siapakah dikalangan kami yang tidak menzalimi dirinya)

Lalu Baginda menjawab:

ليس بذلك ، إنما هو الشرك

(bukan itu maksudnya, sesungguhnya ia – kezaliman tersebut – adalah syirik)

d. Mentakyidkan lafaz yang mutlak sepertimana Baginda menerangkan makna (tangan) di dalam firman Allah: فاقطعوا أيديهما, bahawa ianya bermaksud tangan kanan.

2- Menerangkan makna sesuatu perkataan dan menerangkan ikatannya: sepertimana Baginda menerangkan makna المغضوب عليهمbahawa mereka bermaksud golongan yahudi dan makna الضالينbahawa mereka adalah golongan nasrani.

Begitu juga sepertimana Baginda menerangkan (isteri-isteri yang suci) di dalam firman Allah:

ولهم فيها أزواج مطهرة

(bagi mereka itu isteri-isteri yang suci/bersih)

bahawa ianya bermaksud isteri-isteri yang suci daripada haid dan seumpamanya.

3- Menetapkan hukum hakam baru yang tidak disebut di dalam Al-Quran: sepertimana Baginda menerangkan hukum haram berkahwin dengan menghimpunkan seorang perempuan dan makciknya (sama ada makcik dari sebelah ayah atau ibu) bagi seorang suami. Begitu juga Baginda menerangkan hukum rejam bagi seorang yang berzina sekiranya telah berkahwin, mirath (kadar harta warisan) bagi seorang nenek, penetapan sesuatu hukum dengan bersandarkan kepada satu penyaksian dan sumpahan (dan bukan dengan penyaksian dua oragn saksi), dan seumpamanya yang tidak disebut di dalam Al-Quran.

4- Menasakhkan hukum yang telah thabit di dalam Al-Quran sepertimana sabda Rasulullah:

لا وصية لوارث

(tiada wasiat kepada pewaris)

di mana ia menerangkan bahawa ayat Al-Quran yang menerangkan hukum wasiat kepada ibubapa dan keluarga terdekat telah dimansukhkan hukumnya dengan hadis ini walaupun bacaan tilawahnya kekal. Begitu juga hadis:

البكر بالبكر جلد مئة وتغريب عام

menasakhkan hukum firman Allah di dalam surah an-Nisa:

واللاتي يأتين الفاحشة من نسائهم فاستشهدوا عليهن أربعة منكم….

5-Menguatkan pengsyariatan hukum yang telah disebut di dalam Al-Quran: di mana Rasulullah menerangkan hukum hakam yang sama yang telah disebut di dalam Al-Quran. Tujuannya adalah untuk memberikan penekanan tentang peri pentingnya hukum atau perkara tersebut. Sebagai contoh, Baginda bersabda:

لا يحل مال امرئ مسلم إلا بطيب نفس منه

sesungguhnya hukum ini sama dengan apa yang disebut di dalam firman Allah:

لا تأكلوا أموالكم بينكم بالباطل

Begitu juga sabda Baginda:

اتقوا الله في النساء فإنهن عوان في أيديكم، أخذتموهن بأمانة الله واستحللتم فروجهن بكلمة الله

sesungguhnya hukum ini juga telah disebut di dalam firman Allah:

وعاشروهن بالمعروف

(Sumber: al-Tafsir wal Mufassirun: 55-57)

Solihiyah, Jumaat, 5:40 a.m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *