Hukum permusafiran bagi perempuan menurut Sheikh al-Qardawi

Sheikh Yusuf al-Qardawi merupakan salah satu tokoh ulama masa kini yang berpandangan bahawa safar mar’ah (iaitu safar seorang wanita sama ada safar wajib dan mubah) adalah harus walaupun tanpa mahram atau suami, sekiranya terjamin keamanan bagi perempuan yang bermusafir.

 

qaradawiBeliau berpandangan bahawa terdapat perbezaan di antara method atau cara permusafiran pada zaman dahulu dan sekarang. Permusafiran di zaman dahulu menurut beliau lebih tertumpu kepada penggunaan binatang tunggangan, dan merentasi padang pasir yang tidak dihuni. Peratus kemungkinan seseorang yang bermusafir dengan cara ini untuk terdedah kepada bahaya adalah tinggi. Ini berbeza dengan cara permusafiran yang berlaku di zaman ini dimana pengangkutan moden seperti kapal terbang, keretapi dan kapal laut sebagai contoh menjadi tunggangan asas dan ianya lebih menjamin keselamatan seseorang lantaran jumlah penumpang yang ramai. Selain itu jalan yang digunakan pada masa kini lebih bersistem dan menjamin keselamatan.

Beliau berpandangan bahawa illah (atau sebab) larangan safar mar’ah yang disabdakan oleh Rasulullah melalui hadis yang pelbagai adalah kerana kekuatiran terhadap keselamatan seorang perempuan sekiranya bermusafir tanpa suami atau mahram, dimana kenderaan yang biasa digunakan adalah unta, baghal dan keldai. Pada zaman itu, sekiranya perempuan tidak ditimpa keburukan pada dirinya sekalipun, ia pastinya mendapat keburukan pada sum’ahnya (dicela atau dicemuh oleh masyarakat).

Menurut beliau, illah a’damu al-amni fit torik (bahawa tiada keamanan dalam perjalan) sudah tidak wujud lagi pada hari ni, lantaran bentuk permusafiran pada hari ini lebih menjamin keamanan bagi seorang perempuan. Oleh itu apabila illah sesuatu hukum itu berubah, maka hukum juga turut berubah berdasarkan kaedah:

العلة تدور مع حكمه وجودا وعدما

Maka safar mar’ah pada hari ini haruslah dibenarkan sama ada safar yang wajib atau mubah (tidak wajib), dan ianya sama sekali tidak bertentangan dengan hadis larangan dari Rasulullah.

Bagi beliau, pandangan ini juga dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yagn diriwayatkan oleh ‘Adi Bin Hatim bahawa Rasulullah bersabda:

يوشك أن تخرج الظعينة من الحيرة تقدم البيت (أي الكعبة) لا زوج معها

Hukum ini juga menurut beliau seiring dengan pandangan sebahagian dari fuqaha syafie (iaitu Imam Qaffal) yang mengharuskan safar secara mutlak (merangkumi safar wajib dan safar mubah) sekiranya terjamin keamanannya, sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Ibnu Hajar di dalam fathul bari.

Rujukan: كيف نتعامل مع السنة النبوية

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *