Safar Mar’ah
Hukum musafir seorang perempuan :
عن أبي هريرة عن النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أنه قال : (( لا يَحِلُّ لامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُسَافِرَ مَسِيرَةَ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ لَيْسَ مَعَهَا حُرْمَةٌ ))
و عن ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا مَرْفُوعًا : ((لا تُسَافِرُ الْمَرْأَةُ إِلا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ ، وَلا يَدْخُلُ عَلَيْهَا رَجُلٌ إِلا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ ، فَقَالَ رَجُلٌ : يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَخْرُجَ فِي جَيْشِ كَذَا وَكَذَا ، وَامْرَأَتِي تُرِيدُ الْحَجَّ . قَالَ : اخْرُجْ مَعَهَا ))
وَرَد عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” لا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ، وَلا تُسَافِرُ الْمَرْأَةُ إِلا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ ، فَقَامَ رَجُلٌ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ امْرَأَتِي خَرَجَتْ حَاجَّةً ، وَإِنِّي اكْتَتَبْتُ فِي غَزْوَةِ كَذَا وَكَذَا. قَالَ : فَانْطَلَقْ فَحُجَّ مَعَ امْرَأَتِكَ “
Para ulama (4 mazhab) telah bersepakat bahawa seorang perempuan tidak boleh bermusafir melainkan mesti ditemani oleh suami atau mahramnya.
Hukum umum ini mempunyai beberapa pengecualian:
1) Seorang perempuan yang memeluk islam sedangkan ia tinggal di dalam Negara kafir, maka diwajibkan ke atasnya berhijrah ke Negara Islam, dan dibenarkan ke atasnya berhijrah ketika ini walaupun tanpa mahram atau suami. Ini kerana duduk di sebuah Negara kafir adalah haram sekiranya seseorang itu tidak dapat menzahirkan agamanya, ataupun tiada jaminan keselamatan agama dan dirinya.
2) Seorang perempuan yang berada di dalam tawanan orang kafir, apabila mendapat peluang untuk melarikan diri, maka dia boleh melarikan diri walaupun dengan bermusafir tanpa ditemani oleh mahram atau suami.Fuqaha Hanafiah menganggap kedua perempuan di dalam dua hal di atas sebenarnya tidak bermusafir, kerana mereka tidak menuju ke suatu tempat secara ikhtiar, bahkan mereka tergolong dari kalangan orang yang lari atau cuba melepaskan diri dari fitnah yang sedang dihadapi (ketika di Negara kafir atau di dalam tawanan musuh Islam) menuju ke suatu tempat yang aman.
3) Safar untuk menunaikan haji wajib: Pada pandangan fuqaha Malikiah dan Syafiah, haji fardhu atau haji Islam wajib dilaksanakan oleh seorang perempuan sekiranya beliau mempunyai mahram, suami atau jemaah thiqah yang menemani dan menjamin keselamatannya.
Oleh itu:
Fuqaha Syafiah membenarkan safar seorang perempuan untuk menunaikan haji wajib tanpa mahram atau suami, tetapi mestilah bersama jemaah perempuan (sahaja) yang thiqat yang boleh menjamin keselamatan. Begitu juga dengan umrah wajib di sisi Imam Nawawi.
Fuqaha Malikiah berpandangan sekiranya mahram atau suami enggan keluar menemani seorang perempuan menunaikan haji wajib, maka perempuan tersebut boleh keluar bersama jemaah yang menjamin keamanan sama ada dari kalangan jemaah lelaki yang thiqah ataupun jemaah perempuan yang thiqah.
Fuqaha Hanafiah dan Hambaliah tidak membenarkan seorang perempuan keluar untuk menunaikan haji wajib tanpa mahram atau suami. Pada pandangan mereka, wanita yang tidak mempunyai mahram atau suami, tidak wajib untuk menunaikan haji
4) Sebahagian fuqaha Malikiah seperti Imam al-Baji mempunyai penjelasan dan tafsilan di dalam masalah safar wajib. Bagi mereka, safar wajib bukan sekadar pada haji, tetapi mungkin berlaku pada selainnya yang mana menjadi kewajipan ke atas perempuan tersebut untuk bermusafir (contoh: haji nazar). Di dalam keadaan ini (safar wajib), sekiranya seorang perempuan ingin bermusafar sendirian atau bersama jemaah yang kecil bilangannya, maka dibenarkan ke atasnya dengan syarat ditemani kumpulan wanita yang thiqah. Akan tetapi sekiranya perempuan itu bermusafir dengan kafilah yang besar atau melalui kawasan yang ramai penduduknya, maka dibenarkan ke atas perempuan tersebut untuk bermusafir sendirian tanpa mahram, suami dan kumpulan perempuan thiqah. Ini kerana, ketika bermusafir dengan kafilah atau kumpulan yang besar atau melalui jalan yang dihuni ramai yang mana terjamin keamanannya, perempuan tadi seolah-olah berjalan di dalam sebuah bandar atau melalui jalan-jalan di dalam bandar tersebut, maka tidak disyaratkan padanya mahram, suami maupun kumpulan perempuan thiqah.
Akan tetapi, pengecualian ini hanya untuk permusafiran yang wajib. Untuk permusafiran yang tidak wajib, hukumnya adalah umum seperti hadis di atas iaitu haram bermusafir bagi perempuan tersebut sekiranya tanpa mahram atau suami, walaupun sekiranya ditemani dengan kumpulan perempuan yang thiqah.
5) Para fuqaha sependapat bahawa: perempuan yang wajib keatasnya iddah (dengan sebab cerai atau kematian suami), maka dibolehkan bermusafir tanpa mahram. Fuqaha Hanafi menambah:
Sekiranya perceraian tersebut boleh dirujuk semula, maka perempuan tersebut hendaklah mengikut suaminya sehingga sampai ke tempat tujuannya kerana hukum pernikahan masih berterusan (dibolehkan safar dengan suami yang telah menceraikannya sehingga mereka sampai ke tempat yang dituju).
Sekiranya perceraian tersebut tidak boleh dirujuk (talak bain) atau isteri tersebut kematian suami maka :
- a. Sekiranya jarak antara tempat perceraian (atau kematian) dengan tempat tujuan atau dengan tempat permulaan safar (negeri asalnya) kedua-duanya kurang dari jarak safar , maka perempuan tersebut boleh memilih sama ada ingin terus menuju ke tempat tujuan safarnya, ataupun berpatah balik ke negeri asal pemulaan safarnya tanpa mahram, atau suami. Mereka berpandangan seorang isteri yang wajib beriddah seperti di atas, dibenarkan untuk keluar dari rumah pada jarak kurang dari jarak safar sekiranya berhajat walaupun tanpa mahram. Akan tetapi di dalam kes ini adalah lebih baik sekiranya perempuan tersebut berpatah balik ke negeri asalnya agar beliau dapat melalui iddah di rumah pernikahannya.
- b. Sekiranya jarak antara tempat perceraian atau kematian dengan salah satu dari tempat tujuan permusafiran dan negeri asal, salah satu darinya kurang dari jarak safar, maka menjadi kewajipan bagi perempuan tadi untuk menuju jarak yang kurang dari jarak safar di antara dua jarak tersebut, walaupun tanpa mahram. Sekiranya jarak ke tempat kurang dari jarak safar sedangkan jarak ke tempat tujuan lebih dari jarak safar, wajib baginya berpatah balik.
Pandangan Fuqaha Hambali amat mirip dengan pandangan fuqaha Hanafiah, akan tetapi mereka tidak membenarkan seorang perempuan ketika ini meneruskan safarnya ke tempat yang dituju tanpa mahram, melainkan sekiranya jalan pulang ke negeri asalnya boleh membawa kepada bahaya.
Fuqaha Malikiah berpandangan bahawa isteri yang wajib beriddah seperti di atas tidak boleh meneruskan safarkan ke tempat yang dituju, bahkan wajib ke atasnya pulang ke rumahnya bersama seorang yang thiqah walaupun orang tersebut bukan mahramnya.
Fuqaha Syafiah berpandangan, isteri yang beriddah kerana kematian dibolehkan untuk meneruskan perjalanan safarnya ataupun pulang ke rumah, akan tetapi jika dia pulang ke rumah maka itu adalah lebih afdhal.
Perbahasan:
Pertama: Haji Fardhu : Para ulama berbeza pandangan tentang syarat istito’ah di dalam ayat 97 surah ali Imran, adalah wujud mahram yang menemani seorang perempuan menunaikan haji merupakan syarat kepada istito’ah :
ولله على الناس حج البيت من استطاع إليه سبيلا
Sebahagian ulama menyatakan: wujudnya mahram bagi seorang perempuan menunaikan haji merupakan syarat kepada istito’ah. Oleh kerana itu, sekiranya seorang perempuan tidak mempunya mahram, maka beliau tidak dikira sebagai orang yang berkemampuan “mustati’ah”, serta haji tidak wajib dilakukan oleh beliau. Ini merupakan pandangan mazhab Hanafi dan Hambali. Mereka berpandangan, safar untuk haji fardhu tidak mempunyai perbezaan dengan safar-safar lain. Oleh kerana itu, safar haji fardhu ini termasuk di dalam larangan bermusafir tanpa mahram seperti yang diriwayatkan daripada hadis Abu Hurairah dan Ibnu Abbas di atas.
Sebahagian ulama yang lain menyatakan: wujudnya mahram bagi seorang perempuan bukan merupakah syarat kepada istito’ah yang disebut di dalam ayat 97 dari surah ali Imran. Oleh kerana itu, fardhu haji menjadi wajib ke atas seorang perempuan, walaupun beliau tidak mempunyai mahram atau suami yang menemankan, dengan syarat beliau keluar bersama jemaah thiqah yang menemani beliau. Sebahagian dari ulama ini ada yang membenarkan safar seorang perempuan dalam kes ini dengan ditemani oleh seorang perempuan sahaja. Pandangan ini secara umumnya dipelopori oleh ulama mazhab Maliki dan Syafie.
Punca perselisihan pandangan ini adalah kerana pertembungan ayat 97 surah ali Imran dan hadis larangan bermusafir bagi wanita, di mana kedua-dua dalil tersebut ‘Am dari suatu sisi, dan Khas dari sisi yang lain. Ayat 97 surah ali Ilmran : ‘Am meliputi lelaki dan perempuan, Khas bagi safar haji sahaja. Hadis larangan bermusafir bagi wanita: ‘Am meliputi semua safar, Khas bagi wanita sahaja.
Kedua: Maksud wanita/perempuan di dalam hadis larangan bermusafir: Ianya umum untuk semua perempuan, anak kecil atau orang dewasa, hamba atau merdeka, cantik atau tidak cantik. Akan tetapi fuqaha malikiah berpandangan bahawa seorang perempuan yang telah tua boleh bermusafir ke mana sahaja walaupun tanpa mahram. Pengecualian oleh fuqaha malikiah ini berkemungkinan disebabkan oleh pandangan mereka bahawa perempuan tua seperti ini sudah tidak lagi menjadi tarikan, maka ianya tidak terdedah kepada bahaya .
Ketiga: Jarak safar: Hadis di dalam tajuk ini datang dengan riwayat yang pelbagai dan lafaz yang berbeza-beza dari sudut tempoh waktu. Ada riwayat yang menyatakan “ jarak satu hari satu malam”, ada riwayat yang menyatakan “ jarak melebih 3 hari” , ada riwayat yang menyatakan “ jarak tiga malam”, ada riwayat dengan lafaz “tidak boleh bermusafir seorang perempuan selama dua hari”, ada riwayat dengan lafaz “jarak satu malam” , “jarak satu hari” , “sehari semalam”, “jarak barid ”. Para ulama berpandangan bahawa perbezaan lafaz yang keluar dari Rasulullah s.a.w, adalah berpunca dari keadaan orang yang bertanya, dan keadaan tempat. Tetapi para ulama sepakat bahawa safar di dalam hadis itu bermula dengan sekurang-kurang jarak safar .
Keempat: Pengertian Mahram: lelaki yang haram dikahwini oleh seorang perempuan secara ta’bid (selama-lamanya) kerana perhormatan ke atas perempuan tersebut (لحرمتها) dan dengan sebab mubah (seperti perkahwinan atau kerana thabit nasab) . Adapun orang yang tidak boleh dikahwini secara sementara seperti suami kepada adik, maka dia tidak dikira sebagai mahram.
Kelima: Adakah suami termasuk di dalam hukum mahram: Di dalam hadis di atas tidak disebutkan tentang suami, akan tetapi ia thabit di dalam riwayat yang lain. Ulama berpendapat, hukum suami ini haruslah sama dengan hukum mahram yang boleh menemani seorang perempuan bermusafir. Sebahagian ulama yang lain menyatakan lafaz mahram ini dari sudut penggunaan bahasa juga boleh bermaksud penghormatan (الاحترام), yang merangkumi suami.