مطرنا بفضل الله وكرمه

Alhamdulillah, hujan turun juga di Damascus (Sabtu 11 Dec 2010), bumi anbiya dan para solihin. Bumi yang penuh keberkatan berkat doa Rasulullah s.a.w tatkala Baginda berdoa:

اللهم بارك لنا في شامنا ويمننا

Bumi yang terus menerus menjadi nadi dan penyumbang kepada ketamadunan dunia. Disini kita berpijak, memohon kekuatan dari Allah agar sentiasa diberikan taufik untuk mengikuti jejak para solihin menuntut ilmu demi menegakkan agama Allah, sebagai menyahut firmannya:

فلو لا نفر من كل فرقة منهم طائفة ليتفقهوا في الدين …..

meisat2Mudahan-mudahan dengan turunnya hujan ini, menambah keberkatan di atas keberkatan, menyuburkan tanaman yang hampir mati dan menumbuhkan keimanan di dalam jiwa yang yang hanyut dibawa kelalaian duniawi, untuk sama-sama kembali menunaikan tugas, bertasbih dan bertahmid ……… sebagai tanda ubudiyah kepadaNya.

Pada hari jumaat sebelumnya (10 Dec), kebanyakkan masjid di Damascus mengadakan solat istisqa’ selepas solat jumaat lantaran hujan yang telah lama tidak datang mengunjung. Bumi syam ini mendapat sumber airnya dari beberapa mata air seperti Buken, Ain Fijeh, dan beberapa tempat lain yang kurang dikenali seperti Jabal Sheikh, yang menjadikan hujan sebagai alternatif penting mengimbangi kitaran ini.

Para pelajar termasuk rakyat Malaysia turut tidak ketinggalan untuk sama-sama bersolat. Sebahagian dari penuntut ilmu mengadakan solat istisqa’ di Jami’ Hajibiah dengan diimamkan oleh Sheikh Hasan Hindi (sheikh mazhab hanafi yang mengajar di Fatah, Tahzib dan beberapa buah institusi lain).

Sebelum solat dimulakan, para musollin diminta untuk kembali kepada Allah, bertaubah di atas dosa-dosa lalu dan kembali mengingati hal keadaan mereka ketika bersendirian bersama Allah, apakah dosa yang telah dilakukan. Meninggalkan perkara-perkara fardhu seperti solat dan zakat, memutuskan silaturrahim, membangkitkan fitnah sesama muslim, derhaka kepada ibubapa, memutuskan silaturrahim dan seumpamanya yang tidak diketahui melainkan oleh Tuhan yang mencipta, sudah pasti semuanya ini merupakan dosa dan maksiat yang menjadi punca kepada bala bencana yang menimpa manusia.

Al-Quran di dalam surah yang pelbagai, telah merakamkan kisah-kisah umat terdahulu yang telah mengingkari petunjuk dan hidayat yang diberikan oleh Allah melalui para Rasulnya, dimana pengakhiran mereka merupakan azab yang sangat pedih. Begitu juga dengan ummat Rasul akhir zaman sallallahu alaihi wasallam, kemaksiatan yang mereka lakukan pastinya mengundang bala bencana. Firman Allah di dalam :

ظهر الفساد في البر والبحر بما كسبت أيدي الناس ليذيقهم بعض الذي عملوا لعلهم يرجعون

Selepas para musollin beristighfar dan bertaubah, solat dua rakaat pun didirikan yang kemudiannya di akhiri dengan bacaan doa. Sheikh Hasan telah memilih seorang tua dan seorang pemuda yang soleh dari kalangan musollin untuk turun sama membacakan doa dengan harapan keberkatan doa mereka menjadi sebab istijabahnya doa umat Islam.

Dan akhirnya ….. ….. ….

Hujan mulai turun, dan turun, dan turun…… pagi dan petang ……. dan malam jua. Selama satu hari hujan berterusan turun, dan akhirnya pada hari seterusnya (ahad, 12 Dec), salji yang dinantikan oleh kebanyakkan rakyat Malaysia, turut berkunjung jua menjadikan Bandar Damascus, sebuah kota indah yang hanya biasanya dilihat dinegara-negara dingin seperti eropah.

Pemandangan indah ini saya rakamkan dengan ucapan Alhamdulillah, memohon kepada Allah, semoga ianya suatu rahmat dan bukan sebagai suatu bala.

اللهم حوالينا لا علينا…….

Kamera Sony yang baru dibeli beberapa bulan yang lepas menjadi bekalan saya keluar bekerja pagi ini, sambil menghabiskan masa mengambil gambar pemandangan indah sekitar abu nur, dan bahsa. Rakaman video turut dilakukan untuk tatapan keluarga di rumah (yang tidak berkesempatan untuk keluar kerana cuaca yang terlalu sejuk). Ketika ini, si kecil Farhanah, baru saja mulai sembuh dari penyakit yang menimpanya selama sekitar seminggu.

Salji kota Damascus …..

Kali terakhir salji turun di Bandar Damascus adalah sekitar tahun 2007/2008. Ketika itu saya tinggal di kawasan mujtahid dan belum berumah tangga. Pada tahun-tahun seterusnya, salji tidak kelihatan ketika musim sejuk menjelma melainkan di kawasan luar Damascus seperti Bludan (tempat kunjungan rasmi pelajar Malaysia untuk bermain salji). Akan tetapi, kali ini, anda tidak perlu menaiki servis ke bludan lagi….. kerana…. Salji boleh didapati di pintu depan rumah anda.

Jalan ke Abu Nur

Pemandangan di bahsa, dari Naser Communication

Situasi Malaysia yang berbeza

Bagi rakyat Malaysia di tanah air, menunggu hujan turun tidaklah menjadi sesuatu yang diharapkan, lantaran taburan hujan yang sekata sepanjang tahun. Bahkan perkara yang dirisaukan adalah, banjir yang melanda tatkala tengkujuh menjelma, sepertimana yang berlaku di kawasan utara tanah air (kedah dan perils) baru baru ini.. Bendang ayah mertua turun menjadi sasaran banjir, yang menyebabkan kerugian yang dialami oleh para penduduk mencecah jutaan.

Semua ini mengingatkan kita kepada kekuasan Sang Pencipta. Tatkala bala menimpa, barulah manusia kembali mengingati nikmat yang diterima sebelum ini. Seorang yang sihat, kadang kala tidak sempat untuk mensyukuri nikmat kesihatannya, melainkan ketika ia sakit. Orang yang kaya, lupa dengan nikmat kekayaannya, sehinggalah ketika datang kefakiran.

Kita berdoa kepada Allah, agar mengajarkan kita mensyukuri nikmat yang diberikan, dengan berterusnya nikmat ini dan tidak mengajarkan kita menyedari erti kenikmatan ini tatkala ia hilang.

اللهم عرفنا نعمك علينا بدوامها ولا تعرفنا نعمك علينا بإنقطاعها…….

Semoga kita bersyukur ketika nikmat berkunjung dan bersabar ketika ujian menimpa.

Salam rindu dari Damascus,

Naser Communication and System,

Bahsa, Ahad 12 Dec 2010

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *