وفي دار الحديث لطيف معنى
أصلي في جوانبها وآوي //على بسط لها أصبو وأوي
لعلي أن أمس بحر وجهي
مكان مسه قدم النواوي
Inilah ungkapan syair yang diucapkan oleh Imam Ibnu Subki (Taqiuddin) tatkala sampai ke Darul Hadis menceritakan kerinduan terhadap Imam Nawawi, seorang Imam masyhur yang mendiami Darul Hadis, seterusnya mengajak kita untuk mengenali peranan Darul Hadis serta sumbangannya terhadap peradaban ilmu Islam.
Darul Hadis merupakan sebuah madrasah yang didirikan oleh Malik alashraf pada tahun 630 H. Ia banyak menyumbang kepada ketamadunan Islam dengan lahirnya tokoh-tokoh ulama terkenal di zaman kegemilangan Islam di Syam.
Terletak berhampiran dengan Jami Umawi iaitu sebuah masjid terawal yang dibina oleh Kerajaan Umawi tatkala bertapak di Damsyik, darul Hadis ini terletak di sebelah barat Asruniah.
Kini madrasah agung ini tenggelam dengan kesibukan pasar utama Suq Hamidiah, disamping kedudukannya dicelah-celah bangunan-bangunan lama yang menjadi pusat kunjungan pelancong ke Damascus. Situasi seperti ini sudah pasti melupakan kita tentang sejarahnya yang gemilang suatu ketika dahulu.
Tulisan ringkas ini cuba mencungkil kembali sejarah dan peranan yang pernah dimainkan oleh Darul Hadis semenjak ianya didirikan sehinggalah saat ini.
Pada awalnya, Darul Hadis merupakan hanya sebuah rumah yang dimiliki oleh Amir Sorimuddin Qaimar bin Abdullah an-Najmi (596 H). Kemudian rumah ini dibeli oleh al-Malik al-Ashraf Muzaffaruddin (Sultan dari kerajaan Ayubiah) untuk dijadikan sebagai sebuah pusat pengajian. Madrasah ini telah dibuka secara rasmi pada tahun 630 H.

Pada ketika itu, ianya telah diterajui buat kali pertama oleh Imam Ibnu Solah, seorang ulama hadis terkenal, dikagumi sepanjang zaman sehingga ke hari ini. Beliau lahir pada tahun 577 H dan wafat di Damsyik pada 26 rabiul awwal 643 H. Syaksiyah dan ketokohan Ibnu Solah dapat dilihat melalui kesan penulisan yang ditinggalkan di dalam kitabnya “ulum al-hadis” atau lebih masyhur “muqaddimah ibnu solah” di dalam Ulum al-Hadis.
Pandangan-pandangan Ibnu solah di dalam bidang hadis ini dianggap sebagai sebuah pandangan yang sangat konkrit hasil olahan dan kritikannya terhadap pandangan ulama sebelumnya seperti Imam Khatib al-Baghdadi dan lainnya. Beliau telah menyusun semula ilmu mustalah hadis yang akhirnya membentuk aliran tersendiri di dalam disiplin ilmu hadis. Pandangan Imam Ibnu Solah ini seterunya banyak menjadi asas dan rujukan kepada ulama hadis seterusnya seperti Imam Nawawi dan Imam Ibnu Hajar. Pengaruh dan peranan yang dimainkan oleh Imam Ibnu Solah ini sudah pasti mempengaruhi dunia ilmu di Darul Hadis secara khusus ketika itu dan umat Islam secara umum.

Di antara orang yang menerajui Darul Hadis selepas Imam Ibnu Solah adalah Imam Nawawi (631-676 H). Imam Nawawi merupakan seorang imam agung yang bukan sekadar masyhur dikenali oleh pengikut Mazhab Syafie, bahkan ianya turut dikagumi oleh ulama mazhab lain: Maliki, Hanafi dan Hambali. Sumbangan Imam Nawawi di dalam ilmu hadis, menjadikan kitabnya seperti ” at-Taqrib” dan “al-Irsyad” menjadi teks utama pengajian mustalah ilmu hadis sehingga hari ini. Kitab seperti Riadus solihin, Hadis 40, Al-Azkar pula merupakan sebahagian kitab hadis yang bukan sekadar dipelajari oleh penuntut ilmu agama, malahan menjadi teks utama kuliah-kuliah masjid di seluruh Negara.
Di dalam feqh Syafie, Imam Nawawi dikenali juga sebagai seorang murajjih mazhab kerana peranannya yang sangat luas di dalam mentarjihkan pandangan para ulama Syafie dari zaman awal sehingga ke zaman hidupnya. Imam Nawawi telah berhenti mengkaji pandangan ulama syafiiyah sebelumnya satu persatu, lalu memisahkan antara pandangan yang kuat dan pandangan yang lemah untuk dijadikan pegangan kepada pengikut Imam Syaife di dalam bidang feqh. Tarjih yang dilakukan oleh Imam Nawawi juga banyak berdiri di atas usaha terdahulu yang telah dilakukan oleh Imam Rafie yang juga mendapat gelaran yang sama. Kesan penulisan beliau di dalam bidang feqh ini dapat dilihat di dalam kitabnya minhaj at-Tolibin, ar-Raudahah, at-Tahqiq, al-Majmuk dan lainnya.
Kemudian pada tahun 718 H, giliran Imam Mizzi (654- 742) pula menerajui Darul Hadis. Imam Mizzi merupakan seorang imam yang menjadi rujukan para muhaddis dan huffaz di dalam hadis. Beliau menerajui madrasah ini selam 23 tahun. Kitab beliau seperti “tuhfatul ashraf” merupakan kitab masyhur yang memenuhi maktabah islamiah pada hari ini.
Imam Taqiuddin as-Subki pernah berkata: ” Sesungguhnya tidak ada seorang ulama yang memasuki darul hadis yang lebih alim dan lebih hafiz dari pada Imam Mizzi, dan tidak ada yang lebih wara’ daripada Imam Nawawi dan Imam Ibnu Solah”.
Seterusnya Darul Hadis mengekalkan tradisinya sebagai penyumbang kepada ketamadunan ilmu Islam apabila ianya diterajui oleh nama-nama besar seperti Imam Taqiuddin Subki (683- 756 H), Imam Ibu Kathir (701-774 H), Imam Tajuddin as-Subki (727-771h ) anak kepada Imam Taqiuddin as-Subki. Imam Taqiuddin dan anaknya Tajuddin ini berasal dari Kaherah dan telah berpindah ke Damsyik pada tahun 739 H.
Di zaman era barunya, Darul Hadis pernah diterajui oleh Sheikh Badruddin al-Hasani, Muhaddis Bilad as-Syam dan Sheikh Muhammad Abi al-Khair al-Maidani (1875-1961 M).
Darul Hadis pada hari ini tidak lagi seperti di zaman kegemilangannya. Ianya telah mengalami kemunduran seiring dengan kemunduran yang berlaku terhadap Umat Islam dari segenap segi. Pada hari ini, darul hadis hanya dibuka dan beroperasi sebagai sebuah sekolah rendah agama sahaja. Ianya kini diterajui oleh Sheikh Husin Hasan So’biyah, yang turut menjadi tenaga pengajar di Maahad Fatah Islami.

