Feqh Puasa:
Apakah takrif puasa dari sudut bahasa dan istilah:
Dari sudut bahasa, puasa bermaksud: menahan dari melakukan sesuatu, sepertimana di dalam firman Allah s.w.t di dalam surah Maryam (26) : “Sesungguhnya aku telah bernazar kepada ar-Rahman untuk berpuasa” iaitu berdiam dan menahan diri dari bercakap.
Dari sudut istilah, puasa bermaksud: Menahan diri dari syahwat perut dan faraj (kemaluan) dan perkara yang seumpamanya sebagai menyalahi hawa nafsu demi ketaatan kepada Allah, bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari dan di dahului dengan niat.
Bilakah puasa di syariatkan kepada umat Muhammad?
Puasa pada asalnya adalah satu ibadat yang telah difardhukan kepada umat sebelum Muhammad. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah (183): “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu puasa sepertimana ianya difadhukan kepada golongan sebelum kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa”.
Akan tetapi puasa mereka pada ketika itu hanyalah tiga hari di dalam setiap bulan mengikut satu pandangan. Begitu juga pada permulaan Islam, ibadat puasa hanyalah disyariatkan tiga hari pada setiap bulan. Ibadat puasa ini akhirnya telah dinasakhkan dengan ibadat puasa sebulan di bulan ramadhan . [tafsir ibnu kathir: 1/497]
Ibadat puasa ramadhan telah disyariatkan ke atas umat Muhammad pada bulan Sya’ban tahun yang kedua hijrah dan Rasulullah s.w.t sempat berpuasa sebanyak 9 kali Ramadhan.
Terdapat perbezaan ibadat puasa ramadhan pada awal permulaan pensyariatannya di mana bagi orang yang sihat dan bermukim (tidak musafir) dibolehkan baginya berpuasa sekiranya ingin dan dibolehkan juga berbuka dengan syarat menggantikannya dengan membayar fidyah (secupak makanan iaitu sekitar 600 gram).
Ini berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam surah al-baqarah (184) yang bermaksud: “dan bagi orang yang mampu (untuk berpuasa) boleh membayar fidyah makanan kepada orang miskin” dan firmanNya lagi: “dan sekiranya mereka berpuasa maka lebih baik untuk mereka”.
Akan tetapi, hukum ini kemudiannya dinasakhkan dimana orang yang sihat dan bermukim diwajibkan berpuasa dan tidak boleh membayar fidyah menggantikan kewajipan puasa tersebut. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah (185) yang bermaksud: “bulan ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan bukti yang nyata dari hidayah dan furqan, barang siapa yang melihat bulan dari kalangan kamu maka hendaklah dia berpuasa”.
Melihat bulan di dalam ayat ini bermaksud mengetahui masuknya ramadhan. Oleh itu, barang siapa yang mengetahui masuknya ramadhan dalam keadaan beliau sihat dan bermukim, maka wajib ke atasnya berpuasa. Inilah pengertian dari ayat 185 surah al-Baqarah. [rujuk tafsir ibnu kathir:1/498-500]
Apakah kedudukan puasa di dalam Islam?
Puasa merupakan salah satu dari rukun Islam yang lima sepertimana yang telah diriwayatkan di dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Umar bahawa beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah s.w.t: “Terbina Islam itu dari lima perkara: Menyucap syahadah bahawa tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah, Mendirikan solat, Membayar zakat, Menunaikan haji dan Berpuasa di bulan ramadhan.
Orang yang meninggalkan puasa secara sengaja sedangkan dia beriman dengan kewajipan puasa tadi, maka orang seperti ini dihukumkan fasiq.
Adapun orang yang mengingkari kewajipan puasa maka dia dihukumkan kafir. Ini kerana kewajipan puasa datang dengan dalil yang qat’ie dan ianya merupakan dari perkara yang diketahui kewajipannya di dalam agama secara darurat (maklum minnaddin biddarurat). Tidak ada seorangpun dari kalangan orang yang memeluk agama Islam yang tidak mengetahui kewajipan solat, zakat, haji, dan puasa.
Apakah fadhilah berpuasa di bulan ramadhan?
Terdapat hadis-hadis yang banyak menceritakan tentang fadhilah berpuasa di bulan Ramadhan. Sebahagiannya menceritakan fadhilah tersebut secara khusus dan sebahagiannya secara am. Ini menunjukkan kelebihan ibadat ini, sehingga ianya diberikan ganjaran yang lebih dari ibadat-ibadat yang lain. Di bulan Ramadhan, orang yang berpuasa dan melakukan ibadat seolah-olah telah melakukan satu perniagaan yang sangat menguntungkan dirinya sendiri di mana keuntungan yang paling besar adalah “al-itqu minannar” iaitu kebebasan dari api neraka, serta mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah s.w.t.
Hadis pertama:
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Puasa itu adalah “junnah” (iaitu penghalang dari dosa dan api neraka), Maka apabila seseorang itu berpuasa, janganlah dia bercakap kotor dan melakukan perkara kejahilan. Sekiranya seseorang datang menyerangnya atau memaki hamunnya, maka katalah kepada orang tersebut: Sesungguhnya aku sedang berpuasa, sesungguhnya aku sedang berpuasa. Demi tuhan yang diriku ini berada di dalam genggamannya, bau-bauan yang keluar dari mulut seseorang yang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah dari bau misik (minyak wangi). Sesungguhnya orang yang berpuasa itu telah meninggalkan syahwatnya, makan minumnya semata-mata kerana aku (Allah). Maka puasa itu untukKu (Allah) dan Akulah yang akan member ganjarannya. Setiap kebaikan itu akan digandakan sebanyak sepuluh kali ganda sehingga kepada tujuh ratus kali ganda melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKu dan akulah yang akan memberi ganjaran tersendiri”.
Di dalam hadis ini, Allah s.w.t telah mengkhususkan ibadat puasa itu untuk diriNya. Imam Qurtubi di dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa ibadat puasa mempunyai dua keistimewaan tersendiri yang membezakan ianya dengan ibadat yang lain:
- Puasa menghalang diri dari menuruti hawa nafsu yang mana tidak dapat dilakukan oleh ibadat lain.
- Puasa merupakan ibadat yang tersembunyi (tidak diketahui oleh orang ramai). Ianya satu rahsia antara seorang hamba dengan tuhannya. Seseorang yang berpuasa itu tidak akan berpuasa melainkan untuk tuhannya. Oleh kerana itu ibadat puasa ini menjadi suatu yang khusus untuk Allah s.w.t. Ini berbeza dengan ibadat yang lain dimana ianya mungkin dilakukan semata-mata ingin menunjuk di hadapan orang ramai atau kerana niat riya’.
Hadis kedua:
Diriwayatkan oleh Sahal bin Saad r.a. bahawa Rasulullah s.w.t telah bersabda: Bahawa sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebuah pintu yang disebut Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk ke dalamnya melalui pintu tersebut di mana pintu tersebut tidak akan sekali-kali dilalui oleh orang selain mereka. (Di hari qiamat nanti kedengaran suara memanggil): Di manakah orang yang berpuasa? Maka mereka pun bangun, lalu mereka memasuki pintu tersebut yang tidak dapat dimasuki oleh orang lain. Tatkala mereka selesai memasukinya pintu tersebut akan tertutup dan tidak akan dimasuki oleh orang lain selepas dari itu.”
Hadis ketiga:
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.w.t telah bersabda: ” Tatkala datang Ramadhan, terbuka pintu-pintu syurga dan tertutup pintu-pintu neraka dan akan digari syaitan-syaitan”.
Hadis keempat:
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.w.t telah bersabda: “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan rela hati mengharapkan ganjaran (dari Allah), maka akan diampunkan segala dosa yang telah dia lakukan”.
Hadis-hadis ini merupakan sebahagian hadis yang menceritakan tentang fadhilah berpuasa di bulan Ramadhan dan ianya mengandungi keistimewaan tersendiri berbeza dengan ibadat-ibadat yang lain.
Siapakah yang diwajibkan ke atasnya puasa Ramadhan?
Puasa diwajibkan keatas orang yang melengkapi syarat berikut:
- Seorang muslim – tidak wajib ke atas orang kafir
- Telah mencapai umur baligh- tidak wajib ke atas budak kecil. Akan tetapi puasa seorang budak kecil yang mumayyiz dikira sah.
- Orang yang berakal – tidak gila.
- Mampu untuk berpuasa dengan menahan diri dari makanan dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Adapun orang yang sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh serta tidak mampu untuk berpuasa, maka tidak diwajibkan ke atas mereka berpuasa. Akan tetapi mereka hendaklah menggantikan setiap hari yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan tersebut dengan secupak makanan disedekahkan kepada faqir miskin.
- Suci dari haid dan nifas
Adakah orang kafir dituntut dengan ibadat furu’ seperti solat dan puasa?
Pengertian ibadat furu’ di dalam perbahasan ini adalah: ibadat-ibadat yang dituntut di dalam Islam selain dari keimanan kepada Allah. Maka dengan penafsiran seperti ini, ianya merangkumi solat, puasa, haji dan zakat yang merupakan tunjang dan asas kepada Islam, sepertimana ianya juga merangkumi ibadat lain seperti menjalin silaturrahim, bercakap benar, amanah, bersedekah dan sebagainya.
Terdapat dua pandangan di dalam masalah ini:
1) Pandangan pertama menyatakan: bahawa orang kafir dituntut dengan ibadat furu’ seperti solat, zakat, haji, puasa dan lainnya. Tetapi ibadat tersebut tidak sah dilakukan melainkan selepas mereka memeluk Islam. Hikmat dari tuntutan ini adalah bahawa di akhirat nanti, orang-orang kafir akan diseksa di atas kekufuran mereka dan mereka juga akan diseksa kerana meninggalkan segala ibadat furu’ ini. Tidak cukup dengan siksaan atas kekafiran mereka sahaja.
Pandangan ini dikuatkan oleh firman Allah s.w.t di dalam surah al-Muddaththir (42-46) yang bermaksud: ” Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka. Lalu mereka menjawab: kami bukan dari golongan orang yang bersembahyang. Dan kami juga tidak memberi makan orang miskin. Dan kami bersama orang-orang yang sesat (yang menyatakan sesuatu tanpa ilmu). Dan kami mendustakan hari qiamat”.
Ayat ini menunjukkan bahawa di akhirat kelak, orang kafir akan memasuki neraka dan mereka akan diseksa kerana kekufuran mereka serta diseksa juga kerana mereka meninggalkan ibadat-ibadat furu’ seperti solat, zakat dan sebagainya.
Pandangan ini merupakan pandangan yang kuat di dalam mazhab syafie. [rujuk tuhfatut tullab:271]
2) Pandangan kedua menyatakan: bahawa orang kafir tidak dituntut dengan ibadat furu’ seperti solat, zakat, haji, puasa dan sebagainya. Ini kerana semua ibadat ini mempunyai syarat untuk ditunaikan iaitu seseorang yang ingin melakukannya mestilah seorang yang muslim, beriman kepada Allah. Orang kafir tidak memenuhi syarat iman ini kerana mereka tidak beriman kepada Allah. Maka, berdasarkan pandangan ini, orang kafir di akhirat nanti akan diseksa kerana kekafiran mereka, dan mereka tidak akan disoal tentang ibadat-ibadat furu’ yang ditinggalkan.
Apakah hukum puasa seorang yang tidak mencapai usia baligh?
Manusia akan melalui tiga peringkat umur di dalam kehidupannya:
1) Tidak mumayyiz: iaitu seseorang yang masih kecil dan belum dapat membezakan antara sesuatu. Ianya bermula dari semenjak lahir sehinggalah berumur sekitar 7 tahun.
2) Mumayyiz : iaitu seseorang yang sudah mampu untuk membezakan antara sesuatu yang memberi maslahah kepadanya dengan sesuatu yang memudharatkannya. Para ulama meletakkan had umur tamyiz adalah 7 tahun. Tetapi seseorang itu boleh menjadi mumayyizlebih awal atau lebih lambat dari 7 tahun berdasarkan faktor genetik dan latar belakang kehidupan. Apabila seseorang mencapai umur 7 tahun , dia akan dihukumkan sebagai seorang yang mumayyiz. Akan tetapi sekiranya di dapati ada tanda-tanda yang menunjukkan beliau masih belum mumayyiz, maka hukum mumayyiz tersebut menjadi gugur dari dirinya.
3) Baligh: iaitu mencapai usia taklif. Seseorang itu dihukumkan baligh selepas bermimpi (keluar air mani), atau keluar haid bagi seorang perempuan atau mencapai usia 15 tahun seperti yang telah dihadkan oleh ulama syafieyah. Usia terawal seorang perempuan boleh didatangi haid adalah 9 tahun.
Oleh itu, ibadat orang yang tidak mumayyiz tidak sah sama sekali kerana dia tidak mempunyai sifat idrak (atau mengetahui baik buruk sesuatu perkara)
Tasarruf (sama ada ibadat atau muamalat) orang yang mumayyiz sah pada beberapa perkara seperti solat, puasa, haji dan sebagainya. Adapun jualbelinya ianya tidak sah di sisi mazhab syafie.
Ibadat orang yang mencapai baligh adalah sah sekiranya melengkapi syarat-syarat ibadat yang lain.
Kesimpulan: Puasa orang yang belum mumayyiz adalah tidak sah, sedangkan puasa orang yang mumayyiz adalah sah tetapi tidak diwajibkan ke atasnya.
Di dalam sebuah hadis Rasulullah s.w.t telah bersabda: “terangkat tuntutan agama itu dari tiga golongan: dari seorang yang tidur sehinggalah dia bangkit dari tidurnya, dan dari seorang budak sehinggalah dia bermimpi (atau mencapai usia baligh), dan dari seorang yang gila sehinggalah dia sembuh dan berakal kembali”.
Apakah hukum puasa orang yang sakit atau orang yang terlalu tua?
Sakit terbahagi kepada dua:
1) Sakit kuat: iaitu sakit yang menghalang dari berpuasa dimana sekiranya orang ini berpuasa maka dia akan ditimpa bahaya kepada dirinya sendiri (kemungkinan mati atau sakitnya akan bertambah teruk, atau lambat sembuh). Orang seperti ini terbahagi kepada dua jenis iaitu sakit kuat yang ada harapan sembuh dan sakit kuat yang tidak ada harapan sembuh dan hukum kewajipan puasanya berbeza.
2) Sakit tidak kuat: iaitu sakit yang tidak menghalang dari puasa, dimana sekiranya dia berpuasa, tiada kemudharatan yang akan menimpa dirinya. Orang seperti ini tidak mendapat keuzuran dari syarak. Beliau wajib berpuasa kerana sakitnya adalah sakit yang biasa sahaja dan tidak menyebabkan sebarang bahaya kepada dirinya. Contoh, orang yang sakit kerana luka pada tangan.
Hukum puasa orang yang sakit adalah seperti berikut:
1) Sakit kuat yang ada harapan sembuh: Kewajipan puasa tidak gugur darinya. Akan tetapi beliau boleh meninggalkan puasa ketika sakit seperti ini dan diwajibkan qadha atau menggantikan puasa yang ditinggalkan selepas sembuh. Sekiranya dia berpuasa, maka puasanya adalah sah disisi syarak.
2) Sakit yang tiada harapan sembuh: diwajibkan membayar secupak makanan menggantikan satu hari ramadhan yang dia tidak berpuasa padanya. Namun begitu apabila dia memaksa dirinya untuk berpuasa, maka puasanya dihukumkan sah. Ini kerana dia merupakan orang yang berakal dan akal adalah manat at-taklif. Begitu juga dengan seorang yang sangat tua yang tidak mampu berpuasa, maka tidak wajib ke atasnya berpuasa dan dia hendaklah membayar secupak makanan menggantikan satu hari yang ditinggalkannya pada bulan ramadhan. Namun begitu, sekiranya dia memaksa diri untuk berpuasa, maka puasanya tadi dihukumkan sah dan tidak perlu membayar secupak makanan (fidyah).
Apakah hukum puasa orang yang haid atau nifas?
Sekiranya orang yang haid atau nifas menahan diri dari makan dan perkara-perkara yang membatalkan puasa dengan niat puasa (bukan dengan secara kebetulan atau niat selain puasa), maka dia telah melakukan dosa dan tidak sah puasa yang dilakukan. Ini kerana perempuan tersebut sengaja melanggar suruhan syarak di mana syarak memerintahkannya berbuka sepertimana yang telah diriwayatkan daripada Rasulullah s.w.t bahawa baginda bersabda: “Bukankah sekiranya seorang perempuan itu datang haid maka dia tidak bersembahyang dan tidak berpuasa”. [hadis riwayat Imam Bukhari]. Hukum nifas sama dengan hukum haid kerana kedua-duanya mempunyai makna yang sama (iaitu keluar darah dari faraj perempuan).
Akan tetapi, halangan untuk berpuasa bagi orang yang haid atau nifas ini disusuli dengan tuntutan untuk mereka menggantikan puasa yang ditinggalkan tersebut, selepas mereka selesai dari haid atau nifas tadi. Ini berdasar hadis yang diriwayatkan oleh Muaz bahawa beliau bertanya kepada Saidatina Aisyah : “mengapa orang yang datang haid perlu menggantikan puasa dan tidak perlu menggantikan solat (yang ditinggalkannya)? Lalu Saidatina Aisyah menjawab: ” Kami pernah didatangi haid (pada zaman Rasulullah), (lalu) kami diperintahkan untuk menggantikan puasa dan kami tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (yang ditinggalkan)”. Hukum nifas diqiaskan kepada hukum haid kerana keduanya mengandungi makna yang sama.
Apakah yang perlu dilakukan oleh orang yang masuk Islam pada pertengahan hari? Atau sembuh akalnya dari gila atau mencapai baligh pada siang hari?
Sekiranya seseorang itu memeluk Islam atau sembuh dari gila pada waktu siang hari ramadhan, disunnatkan kepada mereka dua perkara:
- Menahan diri dari makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa sehingga terbenam matahari (masuk waktu maghrib), sebagai menghormati waktu puasa.
- Disunnatkan juga baginya untuk menggantikan puasa hari tersebut pada hari lain.
Sekiranya seseorang itu mencapai umur baligh pada waktu siang hari dalam keadaan diatidak berpuasa, maka disunnatkan ke atasnya dua perkara seperti di atas:
- Menahan diri dari makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa sehingga masuk waktu maghrib.
- Menggantikan puasa hari tersebut pada hari yang lain
Sekiranya seseorang itu mencapai umur baligh pada waktu siang hari dalam keadaan diaberpuasa maka wajib ke atasnya meneruskan puasanya dan disunnatkan ke atasnya menggantikan puasa tersebut dengan puasa pada hari lain.
Apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang perempuan sekiranya haid atau nifasnya berakhir pada siang hari ramadhan?
Sekiranya darah haid atau nifas berhenti di siang hari, maka disunnatkan bagi perempuan tersebut menahan diri dari makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa, sebagai menghormati waktu puasa, dan wajib baginya menggantikan puasa hari tersebut dan hari-hari yang ditinggalkan kerana haid dan nifas, pada hari sucinya.
Apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang yang sembuh penyakitnya pada waktu siang hari ramadhan?
Sekiranya seseorang yang sakit tersebut sembuh penyakitnya di siang hari sedangkan dia tidak berpuasa pada hari tersebut, maka disunnatkan ke atasnya menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa sebagai menghormati waktu puasa sehingga maghrib, dan wajib ke atasnya menggantikan puasa hari tersebut pada hari lain.
Sekiranya pada hari tersebut dia berpuasa walaupun dalam keadaan sakit, dan sembuh penyakitnya di waktu siang hari, maka dia wajib meneruskan puasanya.
Apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang yang telah pulang dari permusafirannya pada waktu siang hari ramadhan?
Sekiranya dia tidak berpuasa ketika permusafirannya dan pulang dari permusafirannya di siang hari ramadhan, maka disunnatkan baginya menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa sehingga maghrib, sebagai menghormati waktu dan wajib baginya menggantikan puasa tersebut pada hari yang lain.
Sekiranya dia berpuasa ketika permusafirannya, maka wajib ke atasnya meneruskan puasanya sehingga maghrib.
Apakah yang perlu dilakukan ke atas seorang budak berkenaan ibadat puasa?
Seorang budak hendaklah diperintahkan untuk berpuasa ketika mencapai usia 7 tahun agar dia dapat membiasakan diri dengan ibadat ini.
Ketika mencapai usia 10 tahun dan dia mampu berpuasa, maka menjadi kewajipan ke atas walinya (ayah/ibu) untuk memukulnya (dengan pukulan yang tidak mencederakan) sekiranya dia tidak berpuasa. Perintah ini adalah diqiaskan kepada perintah solat di mana kedua-duanya merupakan ibadat badaniyah.
Apakah hukumnya bagi orang yang kelaparan di siang hari ramadhan sehingga boleh menyebabkan kematian atau sakit kuat sekiranya dia meneruskan puasa?
Dibolehkan ke atasnya berbuka ketika itu (ketika sangat lapar atau dahaga yang boleh menyebabkan kematian atau penyakit yang merbahaya) dan wajib menggantikan hari tersebut pada hari yang lain. Ini kerana Islam tidak menuntut melakukan sesuatu ibadat yang tidak mampu dilakukan oleh seorang muslim. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah (195): “dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kehancuran”.
Apakah hukum puasa orang yang bermusafir?
Orang yang bermusafir boleh berbuka puasa ketika safarnya dengan dua syarat:
1) Permusafirannya itu melebihi jarak safar qasar (iaitu dua marhalah atau 80 km)
2) Meninggalkan I’mran al-Balad (atau kawasan kampong halamannya atau Bandar yang dihuni) sebelum waktu fajar.
Sekiranya dua syarat ini terpenuhi, maka seseorang itu boleh berbuka ketika safarnya di bulan Ramadhan sebagai satu rukhsah (keringanan) yang diberikan oleh syarak.
Akan tetapi, adalah puasanya ketika itu lebih afdhal atau berbuka lebih afdhal? Terdapat dua keadaan yang berbeza bagi menjawab persoalan ini:
1- Sekiranya puasa yang dilakukan memberikan mudharat kepada dirinya ketika permusafiran, maka lebih afdhal baginya berbuka puasa. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa ketika Rasulullah s.a.w di permusafiran, beliau melihat manusia berkerumun dan seorang pemuda diteduhi (kerana kepanasan dan penat). Rasulullah s.a.w pun bertanya: mengapa pemuda ini? Mereka menjawab: Dia sedang berpuasa. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Bukanlah dari ketaatan berpuasa di permusafiran”. [hadis riwayat Imam Bukhari]
2- Akan tetapi sekiranya puasanya ketika permusafiran tidak memberikan kemudharatan pada dirinya, maka lebih afdhal dia berpuasa. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah (184): ” dan sekiranya kamu berpuasa maka lebih baik untuk diri kamu sekiranya kamu mengetahui”.
Apakah yang perlu dilakukan oleh seorang perempuan yang menyusukan anak atau mengandung ketika bulan Ramadhan?
Sekiranya perempuan tersebut takut puasanya itu akan memberi kemudharatan ke atas dirinya, maka dia boleh berbuka dengan syarat melakukan perkara berikut:
1- menggantikan puasa yang ditinggalkan tersebut pada hari yang lain.
Akan tetapi sekiranya perempuan tersebut takut puasanya itu akan memberi kemudharatan kepada anaknya (yang disusukan atau yang dikandung), maka dibolehkan baginya berbuka dengan syarat melakukan perkara berikut:
1- Menggantikan puasa bagi setiap hari yang ditinggalkan.
2- Dia hendaklah memberi sedekah secupak makanan (bayar fidyah sekitar 600 gram) kepada faqir miskin.
Bagaimanakan menentukan permulaan ramadhan?
Penentuan ramadhan adalah dengan melihat anak bulan (Rukyah al-Hilal). Sekiranya langit menjadi mendung (atau terhalang pandangan dari melihat anak bulan) maka permulaan ramadhan ditentukan dengan cara yang kedua iaitu dengan melengkapkan bilangan bulan Sya’ban menjadi 30 hari.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Berpuasalah dengan melihatnya (anak bulan ramadhan) dan berbukalah dengan melihatnya (anak bulan syawal). Sekiranya terlindung daripada kamu (melihat anak bulan) maka genapkanlah bilangan Sya’ban 30 hari”. [Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim]
Apakah hukum perbezaan terbit anak bulan di negera-negara Islam?
Sekiranya anak bulan dilihat di sebuah kawasan atau negeri maka hukum permulaan Ramadhan menjadi umum meliputi negeri-negeri yang berdekatan dengannya (yang berada pada mattholi’ yang sama) walaupun anak bulan tidak kelihatan di negeri-negeri yang berdekatan tadi. Maka negeri-negeri yang berdekatan seperti ini boleh memulakan puasa apabila anak bulan kelihatan di salah satu dari negeri tersebut.
Akan tetapi sekiranya sesebuah negeri itu berjauhan dengan negeri yang lain (berbezamatholi‘ – iaitu tempat terbit matahari), maka negeri yang melihat anak bulan akan berpuasa, dan negeri yang tidak melihat anak bulan tidak boleh mengikut negeri yang melihat anak bulan tadi.
Ada sebahagian ulama mensyaratkan bahawa sekiranya kedua buah negeri yang berjauhan kedudukannya mencapai jarak safar qasar (iaitu dua marhalah atau 80 kilometer) maka kedua negeri itu tidak boleh mengikut antara satu sama lain dalam menentukan permulaan anak bulan, sebaliknya kedua negeri yang dihukumkan berjauhan ini hendaklah membuat kiraan sendiri. Sekiranya jarak antara dua negeri itu kurang dari jarak safar qasar, maka mereka boleh saling mengikuti antara satu sama lain dalam melihat anak bulan. Akan tetapi pandangan yang mensyaratkan jarak safar qasar ini adalah pandangan yang lemah sepertimana yang disebut oleh Imam Nawawi.
Siapakah yang diterima syahadahnya di dalam menentukan penglihatan anak bulan ramadhan?
Penentuan permulaan awal Ramadhan diterima dari syahadah (penyaksian) seorang lelaki yang adil (tidak fasiq), merdeka dan seorang yang mukallaf (iaitu mencapai usia baligh). Apabila di dalam sebuah negeri hanya ada seorang lelaki sahaja yang melihat anak bulan dan lelaki tadi mencukupi syarat yang disebutkan di atas, maka penyaksiannya diterima dalam menentukan permulaan Ramadhan.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas di mana seorang pemuda telah datang kepada Rasulullah s.a.w dan beliau berkata: “aku telah melihat anak bulan, iaitu Ramadhan”, Rasulullah s.a.w bertanya: “adakah kamu bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah”, beliau menjawab: “ya”, Rasulullah s.a.w bertanya lagi: “adakah kamu bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah”, beliau berkata: “ya”, maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “wahai Bilal, umumkan kepada manusia agar berpuasa esok hari”. Di dalam hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w menerima syahadah (penyaksian) permulaan Ramadhan dari seorang lelaki sahaja.
Akan tetapi hukum ini berbeza dengan penentuan permulaan awal bulan-bulan yang lain dimana disyaratkan penyaksian dua orang saksi (lelaki, adil, merdeka dan mukallaf). Sekiranya di dalam sebuah negeri hanya ada seorang sahaja saksi yang melihat anak bulan Syawal maka penyaksiannya tidak diterima, dan pada ketika itu permulaan syawal ditentukan dengan melengkapkan bilangan Ramadhan 30 hari. Ini berdasarkan sebuah hadis (athar) daripada Saidina Umar bahawa beliau berkata: “Janganlah kamu berbuka (berhenti berpuasa) sehinggalah datang dua orang saksi menyaksikan bahawa mereka melihat anak bulan pada malam hari semalam”.
Perbezaan hukum ini juga diasaskan kepada prinsip ihtiyat (berhati-hati) ketika memulakan ibadat dan ihtiyat ketika keluar dari ibadat.
Bagaimana menentukan awal Ramadhan bagi seseorang yang ditawan atau berada di kawasan yang tidak dihuni dan seumpamanya?
Sekiranya seseorang itu ditawan atau berada di kawasan yang tidak dihuni manusia, maka wajib ke atasnya berijtihad dalam menentukan bulan Ramadhan dan wajib baginya berpuasa mengikut ijtihad yang dilakukannya.
Apabila beliau dibebaskan atau berhijrah ke kawasan yang dihuni dan mendapati bahawa puasa yang dilakukannya itu bertepatan dengan ramadhan atau dilakukan selepas berlalu Ramadhan, maka puasanya itu dikira sah.
Akan tetapi sebaliknya sekiranya dia mendapati puasanya tersebut dilakukan sebelum memasuki bulan Ramadhan, puasanya menjadi tidak sah dan wajib ke atasnya menggantikan puasa tersebut.
Apakah syarat sah puasa?
Syarat sah puasa adalah:
- Niat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w: ” Sesungguhnya setiap perbuatan itu mestilah (didahulukan) dengan niat”.
- Menahan diri dan makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa dari fajar sehingga maghrib
Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah (187): “makanlah dan minumlah sehingga menjadi jelas kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) dari fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa sehingga malam. Dan janganlah kamu menyetubuhi isterimu sedang kamu beri’tikaf di dalam masjid”.
Bagaimanakah melaksanakan niat puasa?
Niat puasa Ramadhan mestilah dilakukan setiap malam hari Ramadhan (bermula dari terbenam matahari sehinggalah fajar). Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.w.t di dalam sebuah hadis: “Barang siapa yang tidak memasang niat puasa sebelum fajar, maka tidak dikira puasanya”.
Diwajibkan juga bagi seseorang itu menetapkan jenis puasa yang ingin dilakukan. Sekiranya seseorang itu ingin melakukan puasa Ramadhan, maka dia hendaklah menetapkan niat‘puasa Ramadhan’ di dalam hatinya bagi membezakan puasa tersebut dari puasa-puasa yang lain. Contoh niat adalah seperti berikut: “sesungguhnya aku berniat untuk melakukan puasa pada esok hari, bagi melaksanakan ibadat puasa Ramadhan tahun ini kerana Allah s.w.t”.
Diwajibkan juga bagi seseorang yang ingin memulakan puasa hari pertama Ramadhan, mengetahui masuknya bulan Ramadhan dengan yakin (sama ada mendengar berita dari orang yang melihat anak bulan atau dia melihatnya sendiri).
Oleh itu sekiranya seseorang itu tidak mengetahui adakah esok bermula Ramadhan atau tidak, kemudian dia berniat puasa Ramadhan esok hari, maka tidak sah niatnya. Ini kerana niatnya tersebut tidak didahului dengan keyakinan bermulanya Ramadhan pada esok hari. Begitu juga sekiranya beliau berniat: “sekiranya esok Ramadhan, maka aku akan berpuasa dan sekiranya tidak, aku tidak akan berpuasa”, maka tidak sah niatnya.
Akan tetapi sekiranya seseorang itu berada pada malam ke 30 Ramadhan dan dia tidak mengetahui adakah esok bermula Syawal atau tidak, lalu dia berniat: “sekiranya esok Ramadhan (hari ke 30) maka aku akan berpuasa dan sekiranya esok bermula Syawal maka aku akan berbuka”, maka niat puasanya dikira sah sekiranya selepas terbit fajar dia mengetahui bahawa hari tersebut adalah hari ke 30 bulan Ramadhan. [Tanwir masalik: 1/513]
Apakah perkara yang membatalkan puasa?
Dhobit perkara yang membatalkan puasa ialah:
- Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka (hidung, mulut, telinga) sehingga ke dalam badan.
- Atau bersetubuh
- Atau mengeluarkan air mani secara sengaja
Puasa seseorang itu menjadi batal sekiranya melakukan salah satu dari perkara di atas dalam keadaan dia mengetahui tentang haramnya perkara tersebut dan dia tidak lupa bahawa dia sedang berpuasa. Sekiranya dia melakukan salah satu dari 3 perkara di atas dalam keadaan dia tidak mengetahui bahawa ianya membatalkan puasa, atau dia lupa bahawa dia sedang berpuasa, maka puasanya tidak batal.
Oleh yang demikian, batal puasa seseorang sekiranya melakukan semua perkara dibawah secara sengaja dan mengetahui haramnya perkara tersebut:
- Makan dan minum
- Memasukkan ubat ke dalam rongga hidung,
- Memasukkan sesuatu ke dua lubang dubur dan qubul (kemaluan depan dan belakang) melebihi bahagian yang kelihatan ketika duduk mencangkung.
- Memasukkan air ke dalam telinga sehingga masuk ke dalam bahagian dalam kepala.
- Sengaja memuntahkan dirinya. Sekiranya dia muntah secara terpaksa, maka tidak batal.
- Bersetubuh atau mengeluarkan air mani secara sengaja dengan mubasyarah isteri sebagai contoh. Sekira air maninya keluar kerana bermimpi, atau berfikir atau melihat sesuatu sehingga keluar air maninya, maka tidak batal puasanya.
- Berlebih-lebihan ketika berkumur sehingga masuk air ke dalam rongga dalam mulut. Sekiranya air tersebut masuk ke dalam ‘rongga dalam‘ mulut dalam keadaan dia tidak berlebih-lebihan ketika berkumur, maka tidak batal puasanya.
- Berlebih-lebihan ketika istinsyak (memasukkan air ke hidung) sehingga masuk ke rongga dalam hidung. Sekiranya air tersebut masuk ke dalam ‘rongga dalam‘ hidung mulut dalam keadaan dia tidak berlebih-lebihan ketika istinsyak, maka tidak batal puasanya.
- Menelan air liur yang telah keluar dari mulut (seperti seseorang yang sedang memintal benang dengan membasahkan benang tersebut dengan memasukkannya ke dalam mulut, lalu ditarik benang itu keluar dan kemudian dimasukkan balik benang tersebut ke dalam mulut sekali lagi. Kemudiannya ditelan air liur yang ada pada benang tersebut, maka batal puasanya. Ini kerana air liur yang ditelannya itu telah terkeluar dari mulut tatkala dia menarik benang keluar dari mulutnya).
- Menelan air liur yang telah terkena najis (apabila mulut seseorang itu berdarah, kemudian dia meludah keluar darah tersebut sehingga hilang kesan darah tadi tanpa mencuci mulutnya, kemudian dia menelan bagi air liurnya, maka batal puasanya. Ini kerana mulutnya tersebut masih bernajis walaupun sudah tiada kesan darah, kerana dia tidak mencuci mulutnya dengan air. Ketika dia menelan air liur yang berbaki di dalam mulut selepas itu, dia telah menelan air liur yang bercampur dengan najis).
- Menelan kahak (yang keluar dari dada atau kepala) yang memasuki rongga mulut, dalam keadaan dia mampu untuk membuangnya keluar.
- Gila seketika di waktu siang hari
- Pengsan sepanjang hari
- Keluar haid atau nifas walaupun seketika.
- Melahirkan anak
- Murtad (nauzubillah min zalik)
Apabila puasa seseorang itu batal kerana melakukan perkara di atas dan seumpamanya (selain dari bersetubuh), maka wajib ke atasnya dua perkara:
- Menggantikan puasa tersebut pada hari yang lain.
- Terus menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa sehingga maghrib (dia tidak boleh makan atau minum walaupun selepas puasanya batal).
Sekiranya seseorang itu bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadhan dalam keadaan dia berpuasa serta mengetahui haramnya perkara tersebut dan tidak lupa bahawa dia sedang berpuasa, maka wajib ke atasnya perkara berikut:
- Menggantikan puasa tersebut pada hari yang lain
- Terus menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa sehingga maghrib (dia tidak boleh makan atau minum walaupun selepas puasanya batal).
- Menunaikan kafarah jimak iaitu salah satu dari perkara di bawah secara tertib (untuk suami sahaja):
- Membebaskan hamba muslim yang tidak mempunyai kecacatan yang menghalang dari bekerja. Sekiranya tidak dijumpai (sepertimana yang berlaku pada hari ini), maka wajib ke atasnya:
- Berpuasa 2 bulan berturut-turut. Sekiranya terputus puasa 2 bulan tersebut walaupn dengan satu hari (tidak berpuasa padanya), maka hendaklah dia memulakan semula puasa 2 bulan tersebut sekali lagi dari awal. Sekiranya dia tidak mampu melakukan perkara tersebut, maka dia hendaklah:
- Memberi makan 60 orang miskin. Sekiranya dia tidak mampu juga, maka tuntutan salah satu dari 3 perkara di atas kekal di atas zimmahnya dan tidak gugur sehinggalah dia melaksanakan salah satu dari perkara di atas mengikut tertib.
Hukum ini diambil berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa beliau berkata:
“tatkala kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w, datang seorang pemuda berkata: ” wahai Rasulullah, aku telah binasa”. Rasulullah bertanya: “apa yang telah berlaku?”, pemuda itu menjawab: “aku telah bersetubuh dengan isteriku dalam keadaan aku berpuasa (di bulan Ramadhan), Rasulullah bertanya: “adakah kamu mampu untuk membebaskan hamba?”, beliau berkata: “tidak”, Rasulullah bertanya lagi: “adakah kamu mampu untuk berpuasa 2 bulan berturut-turut?”, beliau berkata: “tidak”, Rasulullah bertanya lagi: “adakah kamu mampu memberi makan 60 orang miskin?”, beliau menjawab: “tidak”. Rasullah s.a.w berdiam seketika. Selepas itu Rasulullah datang membawa sebuah mangkuk yang berisi tamar (kurma) lalu baginda berkata: “dimanakah pemuda yang bertanya tadi?”, pemuda tadi menjawab: “saya”, maka Rasulullah berkata: “ambil makanan ini dan sedekahkan ia (kepada faqir miskin)”. Pemuda tadi berkata: “adakah (aku bersedekah) kepada orang yang lebih faqir dariku wahai Rasulullah? Demi Allah tidak (di dalam madinah ini) keluarga yang lebih miskin dari keluargaku. Lalu Rasulullah s.a.w tertawa sehingga kelihatan gigi hadapan (taring) kemudian baginda bersaba: “berilah makan (makanan ini kepada) keluargamu”. [ hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim].
Kafarah jimak ini hanya wajib dilakukan oleh lelaki yang melakukan jimak di siang Ramadhan dengan syarat yang disebutkan di atas. Ia tidak wajib kepada lelaki yang bersetubuh ketika berpuasa selain dari bulan Ramadhan, atau berpuasa qadha Ramadhan. Bagi perempuan, hanya perlu menggantikan puasa yang batal.
Sekiranya seseorang itu melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasanya dalam keadaan dia:
- Lupa bahawa dia sedang berpuasa
- Tidak tahu bahawa perkara tersebut membatalkan puasa
- Dipaksa oleh seseorang untuk melakukannya
Maka tidak batal puasanya.
Begitu juga, tidak batal puasa orang yang melakukan perkara dibawah:
- Menelan air liur yang bercampur dengan baki makanan di celah gigi dalam keadaan dia tidak dapat meludahnya keluar dan selepas dia berusaha mengeluarkan baki makanan tersebut dengan memberus gigi atau bersiwak.
- Mengumpul air liur di dalam mulut sebelum menelannya, dengan syarat air liur itu tidak bercampur dengan sesuatu.
- Tidur sepanjang hari (fajar hingga maghrib)
- Pengsan di kebanyakan waktu puasa, seperti seorang yang pengsan dari awal fajar dan sedar sebelum masuk waktu magrib, maka tidak batal puasanya.
Sekiranya seseorang itu makan dengan menyangka belum terbit fajar, kemudian selepas terbit fajar (secara hakiki) dia mengetahui bahawa ketika dia makan tadi fajar telah terbit, maka batal puasanya dan wajib baginya menggantikan puasa tersebut.
Terdapat dua perkara yang mesti ketika dipastikan berlaku sebelum seseorang itu memulakan ibadat:
- Mengangka atau mengetahui masuk waktu.
- Waktu benar-benar masuk (secara realiti dan bukan dengan cara sangkaan)
Sekira seseorang tersebut mengetahui masuknya waktu solat asar, kemudian dia mendirikan solat asar. Selepas itu, dia mendapati secara yakin bahawa waktu asar sebenarnya tidak masuk lagi, maka solat asar yang dikerjakan tersebut tidak sah. Wajib ke atasnya mengulang kembali solat asar pada waktunya.
Oleh itu sekiranya seseorang itu:
1) Makan dan menyangka malam masih berterusan (fajar belum terbit lagi), kemudian:
- mengetahui bahawa sebenarnya fajar telah terbit, maka batal puasanya.
- Atau tidak ada bukti yang menyatakan bahawa dia makan di waktu siang, tidak batal puasanya. Ini kerana kaedah : ” al-aslu baqou llail” .
2) Makan dan menyangka bahawa matahari telah terbenam (maghrib) kemudian mengetahui:
- Sebelum matahari benar-benar terbenam, dia mengatahui bahawa ketika dia makan matahari belum terbenam lagi, maka wajib ke atasnya imsak.
- Selepas matahari benar-benar terbenam, dia mengetahui bahawa ketika dia makan matahari belum terbenam, maka batal puasanya.
- Atau tidak ada bukti yang mendokong bahawa matahari benar-benar terbenam, maka batal puasanya. Ini kerana kaedah: “al-aslu baqounnahar”.
Apakah perkara yang sunat dilakukan ketika puasa?
Perkara yang sunat dilakukan ketika puasa adalah:
- Bersahur walaupun dengan meminum air sahaja dan disunnatkan mengakhirkan (melambatkan) sahur dengan syarat tidak bertembung dengan waktu fajar.
- Mempercepatkan berbuka puasa dan mendahulukan berbuka dengan memakan tamar. Sekiranya sesorang itu tidak mempunyai tamar, maka dia boleh berbuka dengan meminum air kosong.
- Berdoa ketika berbuka dengan doa seperti berikut atau seumpamanya: “Allahumma Laka Sumtu wa Ala Rizkika Afthortu”.
- Memperbanyakkan sedekah dan menyambung silaturrahim
- Memperbanyakkan membaca al-Quran
- Memperbanyakkan I’tikaf di masjid terutama pada 10 malam terakhir.
- Meninggalkan (secara wajib) maksiat seperti menipu, bercakap kotor, mengumpat.
- Meninggalkan syahwat (makan dan seumpamanya) dan hawa nafsu
- Sekiranya dia dikeji atau dihina, maka disunnatkan tidak menjawab bahkan berkata: “aku sedang berpuasa”.
- Meninggalkan sesuatu yang boleh merangsang syahwat seperti mencium isteri.
- Dan banyak lagi yang telah disebut di dalam kitab-kitab feqh yang luas.
Apakah perkara yang makruh dilakukan ketika puasa?
Perkara yang makruh yang dilakukan ketika puasa:
- Merasa makanan walaupun bagi orang yang memasak.
- Mengunyah getah atau seumpamanya (chewing gum). Sekiranya getah itu berperasa dan menyebabkan tertelan air liur yang bercampur dengan rasa, maka batal puasanya. Begitu guna makruh menampal atau memperbaiki gigi.
- Bersiwak atau memberus gigi selepas waktu zawal (waktu masukknya zohor).
- Berbekam dan seumpamanya.
- Dan banyak lagi yang telah disebut di dalam kitab-kitab feqh yang luas.
Bagaimanakah hukum mengqodho’ (menggantikan) puasa yang ditinggalkan?
Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana uzur, maka disunnatkan menyegerakan qodho’ (ganti) puasa ramadhan dan disunnatkan melakukannya secara berturut-turut.
Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan tanpa sebarang uzur, maka wajib baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan dengan segera.
Sekiranya seseorang itu menangguhkan qodho’ puasa Ramadhan ini sehingga datang Ramadhan yang berikutnya, maka wajib ke atasnya melakukan dua perkara bagi satu hari yang ditinggalkan:
- Qodho’ puasa.
- Membayar secupak makanan kepada faqir miskin (bagi setiap hari yang ditinggalkan).
Sekiranya dia masih menangguhkan qodho’ puasa Ramadhan ini sehingga masuk Ramadhan yang ketiga, maka wajib ke atasnya melakukan dua perkara bagi satu hari yang ditinggalkan:
- Qodho’ puasa.
- Membayar dua cupak makanan kepada faqir miskin (bagi setiap hari yang ditinggalkan).
Dan begitulah seterusnya bertambah bilangan cupak makanan yang wajib dikeluarkan dengan bertambahnya masa Ramadhan yang ditangguhkan.
Seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan dia tidak sempat menggantikan puasa Ramadhan yang ditinggalkan sedangkan dia mampu untuk melakukannya qodho’ tersebut, maka wajib dibayar secupak makanan bagi setiap hari yang ditinggalkan dan diambil dari harta peninggalannya. Sekiranya dia tidak mempunyai sebarang harta, maka secupak makanan tadi boleh dibayar oleh sesiapa yang ingin membantunya.
Seseorang yang meninggalkan puasa kerana uzur dan berterusan uzur tersebut sehingga dia meninggal dunia, maka tidak perlu untuk dikeluarkan fidyah untuknya dari harta yang ditinggalkan dan dia sama sekali tidak berdosa (kerana puasa yang ditinggalkannya adalah disebabkan keuzurannya). Begitu juga sekiranya uzurnya berhenti tetapi dia tidak sempat untuk menggantikan puasanya (masa yang ada tidak mencukupi untuknya mengqodho’ dan bukan kerana leka dan lalai) maka tidak ada sebarang kewajipan yang perlu dilakukannya.
Apakah hukum berpuasa 6 hari di bulan Syawal?
Puasa 6 hari di bulan Syawal adalah sunnat dan disunnatkan juga agar ianya dilakukan secara berturut-turut.
Fadhilat kelebihannya disebut di dalam sebuah hadis:
ففي صحيح مسلم: عن أبي أيوب الأنصاري رضي الله عنه أنه حدثه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر
Yang bermaksud: “barang siapa yang berpuasa Ramadhan, kemudiannya mengikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawal, maka pahalanya seperti dia berpuasa setahun”.
Sebahagian ulama menyatakan ganjaran pahala selama setahun ini adalah kerana setiap kebaikan akan diganjarkan dengan 10 kali kebaikan. Maka puasa 30 hari bersamaan pahala puasa 10 bulan, dan 6 hari pada bulan syawal bersamaan 2 bulan. Maka jumlahnya menyamai setahun.
Puasa 6 hari ni disunatkan agar dilakukan berturut-turut, namun boleh juga dilakukan secara berselang seli.
Apakah puasa yang sunnat dilakukan selain dari puasa di bulan Syawal?
- Puasa Tasua’ dan Asyura’ (iaitu puasa pada hari yang ke 9 dan ke 10 bulan Muharram).
- Puasa tiga hari 13, 14, 15 setiap bulan Islam.
- Puasa pada setiap hari Isnin dan Khamis.
- Puasa 9 hari pada awal bulan Zulhijjah (awal bulan sehingga hari yang ke 9). Hari yang ke 10 merupakan hari raya dan haram berpuasa padanya). Hari ke 9 iaitu hari arafah disunnatkan puasa bagi orang yang tidak menunaikan haji. Adapun orang yang menunaikan haji tidak disunnatkan puasa kerana ibadat haji merupakan ibadat yang memerlukan tenaga yang banyak. Bagi mengelakkan seseorang yang menunaikan haji tersebut kepenatan lalu tertinggal melakukan ibadat-ibadat yang dituntut pada hari tersebut, maka tidak disunnatkan bagi mereka berpuasa.
- Puasa pada bulan Muharram, Rejab dan Sya’ban dan keutamaan puasa tiga bulan ini adalah mengikut turutan selepas dari puasa Ramadhan. Ini bermaksud, puasa paling afdhol adalah pada bulan Ramadhan dan ianya adalah wajib. Kemudian berpuasa pada bulan Muharram, kemudian Rejab dan kemudiannya Sya’ban.
Apakah puasa yang makruh dilakukan di dalam Islam?
Puasa yang dimakruhkan adalah puasa secara berterusan setiap hari melainkan hari-hari yang diharamkan. Puasa seperti ini dinamakan sebagai puasa ad-dahr. Puasa ini dimakruhkan sekiranya ia memberi kemudharatan kepada orang yang melakukannya. Sekiranya ianya tidak memudharatkan orang yang melakukannya, maka ianya tidak dimakruhkan.
Abdullah bin Amru bin Al-As telah meriwayatkan di dalam sebuah hadis, dimana beliau berkata: “telah sampai kepada Rasulullah s.a.w bahawa aku berterusan puasa, dan aku sentiasa bersolat qiamullail. Tatkala aku dipanggil atau ketika aku bertemu Rasululla s.a.w baginda bersabda: Benarkah khabar bahawa berpuasa dan tidak berbuka, dan kamu bersolat dan tidak tidur? Puasalah dan berbukalah, buatlah qiamullail dan tidurlah. Sesungguhnya mata kamu mempunyai tuntutan yang perlu ditunaikan, badan dan keluarga kamu mempunyai tuntutan yang perlu ditunaikan”. Abdullah berkata: “sesungguhnya aku mampu untuk melakukan semua perkara tersebut (puasa tanpa henti dan qiamullail tanpa tidur). Baginda bersabda: “(kalau begitu) berpuasalah sepertimana Nabi Daud berpuasa”. Abdullah bertanya: “bagaimana?”. Baginda menjawab: “Nabi Daud berpuasa satu hari dan berbuka satu hari, dan tidak melarikan diri ketika berperang”. Abdullah berkata: “siapakah aku jika dibanding dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Daud ya Rasulullah”. Ato’ (antara perawi) berkata: aku tidak tahu bagaimana boleh disebut puasa al-abad (iaitu puasa berterusan setiap hari) tatkala Rasulullah bersabda: “Tidak dikira berpuasa orang yang berpuasa berterusan (al-abad)”. [Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim].
Hadis ini pada zahirnya menunjukkan larangan melakukan puasa berterusan setiap hari (puasa al-abad atau puasa ad-dahr). Akan tetapi, di sana ada hadis yang menunjukkan tuntutan berpuasa ad-dahr bagi orang yang tidak ditimpa mudharat apabila melakukannya. Oleh itu, untuk menghimpunkan dua hadis ini dan beramal dengan kedua-duanya, maka ulama menyatakan bahawa puasa ad-dahr adalah makruh bagi orang yang boleh ditimpa mudharat dan harus bagi orang yang tidak ditimpa mudharat. Hadis tersebut adalah apa yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Ashari r.a. daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda bersabda: “Barang siapa yang berpuasa ad-dahr akan menjadi sempit baginya pintu neraka seperti ini”, sambil baginda menunjukkan aqad Sembilan puluh , iaitu dia (orang yang melakukannya) tidak akan masuk ke dalam neraka tadi atau tidak ditempatnya dia di dalam neraka. [Hadis riwayat Imam al-Baihaqi].
Apakah puasa yang diharamkan di dalam Islam?
Puasa yang diharamkan adalah puasa berikut:
- Puasa pada hari raya aldil fitri atau aidil adha. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri bahawa Rasullah melarang berpuasa pada dua hari : hari raya aldil fitri dan hari raya korban. Larangan di dalam hadis ini bermaksud haram, dan kerana puasa pada hari ini seolah-olah memalingkan diri dari menjadi tetamu Allah serta bercanggahan dengan apa yang disambut oleh umat Islam dari perasaan gembira.
- Puasa hari tasyrik iaitu tiga hari 11, 12, dan 13 zulhijjah selepas hari raya aidil adha.
- Hari syak iaitu satu atau dua hari sebelum Ramadhan (iaitu hari ke 29 atau 30 Sya’ban). Di haramkan padanya puasa sunnat melainkan sekiranya beliau berterusan puasa sebelum 15 sya’ban atau kebetulan bertemu dengan kebiasaan hari yang beliau berpuasa padanya (contoh: beliau biasanya tidak meninggalkan puasa hari Isnin dan Khamis, kemudian bertemu hari syak ini pada hari khamis, maka dibolehkan baginya berbuka). Begitu juga dibolehkan berpuasa nazar atau qadha’ bagi menyegerakan hutang yang tertangguh di atas bahunya.
- Berpuasa 15 hari terakhir dari bulan Sya’ban melainkan sekiranya beliau berpuasa pada 15 hari yang pertama, atau sekiranya berbetulan dengan adat dan kebiasaan puasanya.
Apakah hukum membatalkan puasa?
Hukum membatalkan puasa wajib adalah haram, sepertimana haram membatalkan solat yang wajib. Firman Allah s.w.t di dalam surah Muhammad (33): “dan janganlah kamu membatalkan amalan kamu”.
Hukum membatalkan puasa yang sunat adalah harus, sepertimana harus membatalkan solat yang sunat.
Imam Daruqutni meriwayatkan hadis daripada Ummu Salamah (isteri Rasulullah s.a.w) bahawa Rasulullah ketika di suatu bagi dimana baginda ingin berpuasa, baginda bertanya kepada kami (isteri-ister baginda): ” Ada makanan atau tidak? Ada sesiapa memberi makanan?”. Ummu Salamah berkata: lalu kami bertanya: ” Bukankah kamu (ya Rasullah) berpuasa?”. Baginda menjawab: ” Ya, akan tetapi tidak mengapa sekiranya aku berbuka, melainkan sekiranya puasa nazar atau qadho Ramadhan”. Imam Daruqutni berkata bahawa di dalam senarai perawi hadis ini terdapat seorang yang bernama: Muhammad bin Abdullah al-a’rzami dan beliau merupakan seorang yang doiful hadis.
Di dalam hadis yang lain Ummu Hani’ r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ” Orang yang berpuasa sunnat adalah amir bagi dirinya, sekiranya dia kehendaki dia boleh meneruskan puasa, sekiranya dia kehendaki dia boleh berbuka. [hadis riwayat Imam al-Tarmizi, Ahmad dan al-Hakam].
Akan tetapi, keharusan untuk membatalkan puasa sunat ini adalah sekiranya seseorang itu mempunyai keuzuran. Bagi seseorang yang tidak mempunyai keuzuran, maka makruh baginya membatalkan puasa. Antara contoh-contoh uzur di dalam masalah ini adalah: menghormati tetamu yang datang ke rumah atau mengambil hati orang yang kita ziarahi apabila mereka bersusah payah menyediakan makanan.
Disunnatkan bagi orang yang membatalkan puasa sunat untuk menggantikan puasa tersebut pada hari yang lain.
Apakah hukum beri’tikaf di masjid?
I’tikaf adalah sunnat sepanjang waktu, dan ianya lebih disunnatkan pada bulan Ramadhan khususnya pada 10 malam terakhir, bagi mencari malam al-qadar.
Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar bahawa beliau berkata:
كان رسول الله يعتكف العشر الأواخر من رمضان
“Rasulullah sentiasa beri’tikaf pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan”.
Saidina Aisyah r.a berkata:
إن النبي صلى الله كان يعتكف العشر الأواخر من رمضان حتى توفاه الله، ثم اعتكف أزواجه من بعده
“Sesungguhnya Rasulullah s.w.t sentiasa beri’tikaf pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan sehinggalah baginda wafat, kemudian isteri-isteri baginda terus melakukan I’tikaf selepas ketiadaan baginda”.
Hukum I’tikaf ini disunnatkan kepada lelaki dan perempuan. Akan tetapi, disyaratkan bagi perempuan yang ingin beri’tikaf agar tidak berlaku ikhtilat (percampuran) dengan lelaki.
Haram bagi seseorang perempuan keluar ke masjid untuk beri’tikaf tanpa kebenaran suami.
Pahala I’tikaf diperolehi walaupun hanya duduk seketika di masjid tetapi disyaratkan niat dan duduk melebihi qadar toma’ninah (iaitu kadar waktu yang mencukupi untuk membaca subhana rabbiyal azim atau subhana rabbiyal a’la).
Seseorang yang ingin beri’tikaf itu mestilah seorang muslim, berakal, berjaga (tidak tidur), suci dari hadas besar, dan dilakukan di dalam masjid.
Tidak dikira sebagai I’tikaf sekiranya semata-mata melintas di dalam masjid.
I’tikaf yang paling afdhal adalah ketika berpuasa, dilakukan di masjid jami’ (iaitu masjid yang didirikan solat jumaat) serta tidak kurang dari satu hari
Seseorang yang bernazar untuk beri’tikaf di masjid al-Haram maka wajib ke atasnya menunaikan nazarnya tersebut dengan beri’tikaf di masjid al-Haram (tidak boleh membayar nazarnya dengan beri’tikaf di masjid lain walaupun masjid al-Madinah atau masjid al-Aqso).
Sekiranya seseorang itu bernazar untuk beri’tikaf di masjid al-Madinah, maka wajib ke atasnya menunaikan nazarnya tersebut dengan beri’tikaf di masjid al-Madinah sepertimana yang dia nazarkan dan boleh juga baginya untuk membayar nazarnya dengan beri’tikaf di masjid al-Haram menggantikan masjid al-Madinah.
Sekiranya seseorang itu bernazar untuk beri’tikaf di masjid al-Aqso, maka wajib ke atasnya menunaikan nazarnya tersebut dengan beri’tikaf di masjid al-Aqso sepertimana yang dia nazarkan dan boleh juga baginya untuk membayar nazarnya dengan beri’tikaf di masjid al-Haram atau masjid al-Madinah menggantikan masjid al-Aqso.
Ini kerana gandaan pahal amalan di masjid al-Haram lebih banyak dari masjid al-Madinah dan gandaan pahala amalan di masjid al-Madinah lebih banyak dari masjid al-Aqso. Sabda Rasulullah s.w.t:
صلاة في مسجدي هذا خير من ألف صلاة فيما سواه، إلا المسجد الحرام
“Solat di dalam masjidku ini (iaitu masjid Nabawi atau masjid al-Madinah) lebih baik dari 1000 kali solat di tempat lain, melainkan di masjid al-Haram”. [Hadis riwayat Imam al-Bukhari]
Di dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda:
الصلاة في المسجد الحرام بمائة ألف صلاة، والصلاة في مسجدي بألف صلاة، والصلاة في بيت المقدس بخمسمائة صلاة
“Solat di masjid al-Haram seumpama bersolat seratus ribu kali, dan solat di masjidku (masjid Nabawi atau masjid al-Madinah) seumpama bersolat seribu kali, dan bersolat di bait al-Maqdis (masjid al-Aqso) adalah seumpama bersolat lima ratus kali”. [Hadis riwayat Imam Tabrani]
Sekiranya seseorang bernazar untuk beri’tikaf di masjid tertentu selain dari 3 masjid yang disebutkan di atas, maka beliau boleh membayar nazarnya dengan beri’tikaf di mana-mana masjid yang dia kehendaki. Ini kerana, masjid-masjid selain dari 3 masjid yang disebutkan di atas mempunyai kelebihan yang sama sahaja.
Sekiranya seseorang bernazar untuk beri’tikaf di masjid sepanjang waktu tertentu, maka wajib ke atasnya menunaikan nazarnya tersebut dengan beri’tikaf sepanjang waktu yang dinazarkan. Sekiranya dia keluar dari masjid tersebut tanpa keperluan atau keluar dengan tujuan menziarahi orang sakit, atau keluar untuk mendirikan solat jumaat atau solat jenazah di tempat lain, maka batal I’tikafnya dan wajib ke atasnya mengulangi I’tikaf tersebut. Adapun sekiranya dia keluar kerana sesuatu yang mendesak seperti keluar untuk makan, minum, membuang air, keluar kerana sakit, datang haid, maka tidak batal I’tikafnya.
Apakah malam al-qadar dan kelebihannya dan bila ianya berlaku?
Malam al-Qadar adalah malam yang dijanjikan oleh Allah dengan kebaikan yang banyak. Ia seumpama 1000 bulan. Barang siapa yang mendirikan ibadat pada malam tersebut dengan keimanan dan penuh penghambaan (rela hati), maka akan diampunkan baginya segala dosa yang telah dilakukan.
Malam al-Qadar ini boleh berlaku di sepanjang Ramadhan berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Abdullah bin Umar bahawa beliau berkata: “Rasulullah s.a.w telah ditanya tentang malam al-Qadar sambil aku mendengarnya. Baginda berkata: Ia berlaku di sepanjang Ramadhan (tidak khusus pada malam tertentu”.
Akan tetapi seseorang itu lebih dituntut untuk mencari malam al-Qadar pada 10 malam terakhir, lebih-lebih lagi pada malam-malam ganjil terutama malam ke 21, 23 dan 25. Sabda Rasulullah:
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان ليلة القدر، في تاسعة تبقى، في سابعة تبقى، في خامسة تبقى
“carilah malam al-Qadar pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan, pada malam 21, pada malam 23, pada malam 25” [hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim]
Apabila seseorang itu bertemu dengan malam al-Qadar maka hendaklah dia memperbanyakkan doa berikut:
اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
“Ya Allah sesungguhnya engkau tuhan yang suka mengampunkan (dosa hambamu), ampunkanlah dosaku”.