Peranan niat dalam kehidupan manusia

Niat mempunyai peranan yang sangat penting di dalam kehidupan seorang mukmin. Niat akan membezakan antara ibadat dan adat. Seseorang yang melakukan perbuatan yang zahirnya ibadat, tetapi meletakkan niat yang salah seperti beribadat untuk menunjuk-nunjuk di hadapan orang ramai agar dikatakan sebagai orang yang soleh, orang seperti ini, walaupun melakukan perbuatan yang zahirnya ibadat, tetapi ianya tidak mendapat sedikitpun ganjaran daripada Allah.

Bahkan ianya mungkin mengundang dosa dan azab daripada Allah, nauzubillah min zalik. Seorang ulama  yang bernama Fudail Bin Iyad pernah berkata:

ترك العمل من أجل الناس رياءاً والعمل من أجل الناس شرك

Meninggalkan sesuatu amalan kerana mencari keredhaan manusia adalah riya’, dan beramal kerana mencari keredhaan manusia adalah syirik.

Dengan niat, sesuatu perbuatan yang zahirnya bukan ibadat (bahkan hanya dari perkara yang harus (mubahat), akan bertukar menjadi suatu ibadat yang diberi pahala sekiranya dilakukan dengan niat mencari keredhaan Allah s.w.t.

Seorang yang ingin menyuap makanan ke dalam mulutnya dan memasang niat untuk mencari kekuatan untuk beribadat sudah pasti tidak sama dengan seseorang yang makan tanpa sebarang niat, atau dengan niat untuk melakukan maksiat.

Tahap tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang mukmin, adalah apabila beliau melakukan ibadat, dan memberikan fokus dan niat yang sempurna mencari keredhaan Allah , dan begitu juga dengan kehidupannya, gerak dan diamnya sentiasa diselangi dengan niat mencari keredhaan Allah dan merasakan muraqabah atau pemerhatian dari Allah. Ianya merupakan peringkat Ihsan di mana Allah sentiasa hadir di dalam jiwanya.

Inilah yang menjadi usaha dan perjuangan para solihin dari kalangan mukminin. Mereka melihat kehidupan dunia ini hanyalah satu “station” sementara untuk menuju “mahattah terakhir” di mana segala perbuatan mereka akan di hisab dan ditimbang dengan perhitungan yang sangat teliti.

[ Peranan niat dalam kehidupan pelajar ]

Begitu juga tidak kurangnya dalam kehidupan seorang pelajar, niat sentiasa menjadi ukuran kepada perjalanannya dalam menuntut ilmu. Ini kerana seseorang yang menuntut ilmu sekiranya beliau benar-benar ikhlas mencari keredhaan Allah, ianya sudah pasti seumpama mujahidin yang berjuang di medan perang seperti mana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadis:

من خرج في طلب العلم فهو في سبيل الله حتى يرجع

“Barang siapa yang keluar kerana menuntut ilmu maka dia berada di jalan Allah sehingga beliau pulang (ke kampung halaman)”

Bayangkanlah bagaimana Nabi s.a.w telah menjelaskan betapa perjalanan seseorang yang keluar menuntut ilmu di jalan Allah, maka ia sama seperti orang yang berjuang di jalan Allah, pahalanya mengalir sehinggalah beliau pulang ke tanahairnya. Adakah kita merasa ganjaran pahala yang tinggi ini datang secara “free of charge” tanpa memerlukan sebarang usaha.

Adakah kita merasa dengan tawaran lumayan ini, tidak ada halangan yang melintang? Jawapannya sudah pasti tidak.

Ini kerana Syaitan yang merupakan musuh utama bagi manusia akan sentiasa berusaha menanamkan perasaan yang tidak baik dari semasa ke semasa sehinggalah ia berjaya memesongkan niat yang baik kepada niat yang songsang. Sehinggalah niat seseorang yang ikhlas untuk menuntut ilmu apabila keluar dari pintu rumahnya, meninggalkan ayah dan ibu serta keluar dari rumahnya, bertukar menjadi niat yang tidak baik, khususnya apabila bertemu dengan pelbagai halangan, kesusahan dan rintangan.

Halangan dan rintangan ini, kadang-kadang datang dalam bentuk bisikan dalaman. Mengapa aku bersusah payah menuntut ilmu? Di saat orang lain sedang nyenyak tidur, mengapa aku harus bangun untuk menghadiri pengajian sheikh rushdi atau sheikh usamah? Mengapa rakan-rakan aku di Malaysia tidak menghadapi kesukaran yang aku lalui.

Kadang-kadang halangan dan rintangan juga datang dalam bentuk material. “Aku kehabisan wang, bagaimana aku nak hidup di syria ni?”. “Aku perlu belajar untuk mendapatkan sekeping sijil agar aku dapat membina karier kerja yang berjaya di Malaysia”. “Aku perlu bekerja di Syria ini untuk menyara kehidupanku kerana aku perlu lira”. “kawan-kawan aku ada handset, guna laptop, aku pun nak guna jugak” dan macam-macam lagi.

Pelbagai macam halangan dan rintangan yang dihadapi oleh seorang penuntut ilmu. Oleh itu tidak hairanlah apabila Nabi  s.a.w menyifatkan bahawa orang yang keluar menuntut ilmu ini seumpama orang yang berjihad di jalan Allah.

Maka bagi seorang pelajar yang cerdik dan sentiasa ingin terus cerdik, beliau sudah pasti akan memperbaharui niatnya dari semasa ke semasa bagi memastikan hati dan perasaannya terus teguh memandu jalan kehidupannya sebagai seorang penuntut ilmu.

Tidak mudah untuk menerima bisikan syaitan jin maupun syaitan manusia. Matlamat kehidupannya menjadi jelas seterang bulan purnama. Tidak mudah untuk “dibelanja” oleh dunia, dibeli oleh agen-agen thogut, sehingga tengkuk menjadi lembik tidak bertulang menerima suapan dari makanan yang beracun. Tidak menjadi orang-orang yang jiwanya menjadi mati, sebelum kematian yang sebenar datang berkunjung.

Bahkan kekuatan dirinya dapat menyemarakkan rakan-rakan di sekelilingnya.  Manfaat dirinya tersebar luas. Pelajar seperti inilah yang menjadi harapan dan impian ibu bapa, dan masyarakat. Ilmu yang dituntut dapat digunakan untuk memberikan “inzar” dan peringatan kepada manusia dan mengembalikan mereka kepada Allah dan Rasulnya.

Mukmin yang seperti ini sudah pasti akan sentiasa mendapat rahmat daripada Allah s.w.t dan akan sentiasa di doakan oleh makhluk-makhluknya yang lain seperti mana yang diriwayatkan oleh Abu Umamah, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

إن الله و ملائكته حتى النملة في جحرها و حتى الحوت في البحر ليصلون على معلم الناس الخير

” Sesungguhnya Allah s.w.t, dan para malaikat sehinggakan seekor semut di dalam lubangnya dan sehinggakan seekor ikan di dalam lautan akan sentiasa berselawat ke atas orang yang mengajarkan manusia kebaikan”.

[ Ulama Su’ Penghancur Ummah ]

Konsep niat yang diterapkan oleh Rasulullah ini bukan sekadar satu perinsip yang perlu dipegang untuk mencapai kebahagian dunia akhirat, bahkan kesilapan dalam mengadaptasi niat yang baik ketika mengaji sebagai contoh, pastinya akan melahirkan ulama’ yang cacat atau lebih dikenali dengan panggilan ‘ulama’ su’.

Golongan ini merupakan golongan yang menjual agama hanya untuk sesuap nasi. Ulama su’ ini bukanlah lahir secara spontan atau secara tiba-tiba, tetapi ianya melalui proses yang panjang. Ianya melalui proses pendidikan dan pengajian sama seperti orang lain. Mengambil masa bertahun-tahun duduk bertalaqqi di hadapan sheikh. Pernah merasa kelaparan seperti penuntut ilmu yang lain. Pernah merasa kesusahan seperti orang lain. Tetapi apa yang membezakannya antara dua golongan ini adalah taufiq daripada Allah s.w.t. Orang yang gagal dalam menunaikan zakat ilmunya adalah orang yang tidak mendapat taufiq dari Allah.

Hilangnya taufiq dari dalam diri seorang penuntut ilmu akan menyebabkan beliau tidak dapat bersabar dengan kesusahan yang dialami.  Tidak dapat menanggung kefakiran, yang akhirnya menyebabkan beliau bertindak menjual agama semata-mata untuk mendapatkan kerehatan yang sementara. Niat yang asalnya dipasang untuk mencari keredhaan Allah tatkala ia keluar dari pintu rumahnya mencari ilmu, bertukar menjadi kerakusan dalam mencari kelebihan dunia.

Kita berdoa agar Allah s.w.t menjauhkan kita dari menjadi golongan seperti ini seterusnya diberikan taufiq yang berterusan agar kita sampai ke destinasi sebenar, menggapai redho ilahi, amin ya rabbal a’lamin.

Oleh itu, hadis niat ini merupakan satu hadis yang membentuk konsep kehidupan yang sempurna bagi seorang mukmin secara keseluruhan. Tidak hairanlah mengapa hadis ini diletakkan oleh Imam Nawawi sebagai hadis yang pertama di dalam ‘arbaien’nya. Tidak hairanlah apa yang kita dengar dari ucapan imam Syafie dalam mengomentar hadis niat:

هذا الحديث يدخل إلى سبعين بابا من العلم.

” Hadis ini mempunyai kaitan dengan 70 bab di dalam bidang ilmu”

[Ulama Pewaris Nabi]

Tanggungjawab sebagai ulama bermula apabila anda mula menjejakkan kaki ke Syria. Ianya bukan lagi pilihan tetapi menjadi satu ketentuan oleh Allah s.w.t. Oleh itu, perlu bagi pejuang agama Allah di bumi Syam ini menjiwai tugas dan peranan yang terletak di bahu mereka bagi memastikan, cita-cita untuk melihat kegemilangan Islam tercapai. Kesempatan duduk bersama-sama penuntut ilmu dari seluruh dunia Islam dengan dibimbing oleh murabbi-murabbi yang lahir dari bumi barakah ini perlulah sentiasa dihargai. Seorang ulama pernah berkata: “apabila seorang ulama menjadi sesat, maka umat turut menjadi sesat”.

Tugas mereka adalah untuk mengembalikan manusia kepada Allah dan Rasulnya, bagi menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat. Tugas mereka adalah untuk membela keadilan dan menentang kezaliman. Tugas mereka adalah untuk mengajar umat urusan agama mereka. Tugas mereka adalah untuk mengikis kembali karat jahiliyah yang semakin menebal di dalam jiwa umat kurun ini.

Akan tetapi, jiwa manusia ini sering kali berbulak-balik. Tidak mempunyai kekuatan lantaran kekuatan itu milik Allah s.w.t.

«إن قلب ابن آدم بين إصبعين من أصابع الرحمن يقلّبه كيف شاء إن شاء أقامه وإن شاء أزاغه».

Justeru itu, pergantungan kepada yang Maha Kuasa perlu dipergiat. Sambil ianya diselangi dengan doa yang diajarkan:

اللهم ثبنا بقول الثابت في الدنيا والآخرة

يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك وطاعتك

[ ta’awun ala al- birri wattaqwa ]

وتواصوا بالحق وتواصو بالصبر

Oleh itu, marilah kita bersama bergerak membentuk dan membangun diri dalam komuniti dan lingkungan yang satu. Saling kuat menguatkan dan saling tegur menegur. Orang mukmin itu ibarat sebuah binaan yang saling memperkukuh. Lingkungan persekitaran yang baik bermula dengan sikap tegur menegur dan saling menasihati. Persekitaran yang membangun adalah persekitaran yang tertegak di dalamnya amar ma’ruf nahi mungkar.

Kesesatan itu datang apabila kita menutup telinga dari mendengar perkataan yang baik. Kesesatan itu datang dengan sikap angkuh. Kesesatan itu datang melalui sikap tidak ambil peduli.

Oleh itu, hijrah perlu dilakukan. Bukan hijrah watan kerana ianya telah berakhir dengan pembukaan kota Mekah. Akan tetapi hijrah diri, dari jiwa yang kotor kepada jiwa yang bersih. Dari jiwa yang songsang kepada jiwa yang lurus. Dari jiwa yang lembik kepada jiwa seorang pemuda sejati. Dari jiwa yang sesat kepada jiwa yang disuluhi dengan taufiq ilahi. Pesanan Baginda s.a.w

فمن كانت هجرته إلى الله فهجرته إلى الله

Hijrah dari kelemahan kepada kekuatan, hijrah dari keburukan kepada kebaikan. Hijrah dari membuang masa kepada pengisian masa yang teratur. Hijrah dari sikap suka memecahbelah kepada sikap cinta kepada perpaduan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *