Makanan yang halal: prasyarat amalan diterima

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :

إن الله تعالى طيب لا يقبل إلا طيبا ، وإن الله تعالى أمر المؤمنين بما أمر به المرسلين ، فقال ((ياأيها الرسل كلوا من الطيبات واعملوا صالحا )) المؤمنون : 51  ، وقال تعالى (( ياأيها الذين آمنوا كلوا من طيبات ما رزقناكم )) البقرة : 172  ، ثم ذكر الرجل يطيل السفر : أشعث أغبر ، يمد يديه إلى السماء : يا رب يا رب ، ومطعمه حرام ، ومشربه حرام ، وملبسه حرام ، وغذي بالحرام ، فأنى يستجاب لذلك ؟ . رواه مسلم .

Yang bermaksud: Rasulullah s.a.w bersabda: “sesungguhnya Allah itu suci (baik) dan tidak menerima melainkan sesuatu yang suci, dan sesungguhnya Allah s.w.t  memerintahkan orang-orang beriman dengan apa yang diperintahkan kepada para rasul. Firman Allah s.w.t: (( Wahai para rasul, makanlah kalian dari makanan yang suci, dan beramallah dengan amalan yang soleh)), dan firman Allah : (( Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang suci dari apa yang kami telah berikan kepadamu)). Kemudian Baginda s.a.w bercerita tentang keadaan seorang lelaki yang jauh berkelana, dalam keadaan kusut rambutnya dan berdebu badannya, lalu menadah kedua tangannya ke langit dan berdoa meminta dengan menyebut: Ya Allah ! Ya Allah, sedangkan makanannya adalah dari makanan yang haram, minumannya adalah dari minuman yang haram, pakaiannya adalah dari pakaian yang haram, dan dibesarkan dengan makanan yang haram, maka bagaimanakah diperkenankan doanya?” – Hadis riwayat Imam Muslim.

Pengajaran:

  • Sesungguhnya Allah s.w.t itu adalah tuhan yang maha suci dari segala sifat kekurangan dan aib.
  • Allah s.w.t tidak akan menerima sesuatu yang tidak suci. Allah s.w.t tidak menerima amalan perbuatan melainkan dari perkara yang suci dari segala kerosakan seperti riya’ dan ujub. Tidak menerima dari harta yang disedekahkan melainkan dari yang halal. Tidak menerima apa sahaja yang dilakukan oleh seseorang hamba sama ada dari bentuk perbuatan, atau percakapan atau I’tikad (kepercayaan) melainkan dari benda yang baik dan suci.
  • Di dalam al-Quran, Allah s.w.t telah memberikan perumpamaan perkataan yang baik dan perkataan yang buruk, umpama pokok yang baik dan pokok yang buruk.
  • Allah s.w.t menyifatkan orang-orang mukmin itu sebagai orang yang baik (suci). Firman Allah s.w.t: ((orang-orang yang diwafatkan oleh malaikat dalam keadaan baik (suci)-)). Para malaikat berkata kepada mereka: Keluarlah wahai jiwa (ruh) yang baik yang selama ini berada di dalam jasad yang baik, dan para malaikat memberikan salam kepada mereka tatkala mereka memasuki syurga, dengan mengucapkan: Tibtum (kamu berada dalam kehidupan yang baik).
  • Di dalam sebuah hadis bahawa seorang mukmin apabila menziarahi saudaranya kerana Allah, para malaikat akan berkata kepada mereka: “Tibtum (kamu berada dalam keadaan baik di dunia dan di akhirat), dan baik juga perjalananmu (baik perjalanan hidupmu menuju akhirat dengan berakhlak mulia dan menyucikan diri dari segala akhlak yang buruk), dan kamu telah menyiapkan diri untuk menempati rumah di syurga”.
  • Orang yang mukmin itu adalah orang yang baik dan suci: hatinya, lidahnya, jasadnya, kesan iman yang menempati hatinya, dan zikir yang keluar dari lidahnya, dan amalan soleh yang dilakukan oleh anggota tubuhnya. Semuanya ini adalah buah dari iman. Semuanya ini pastinya diterima oleh Allah s.w.t.
  • Antara amalan soleh yang baik bagi seorang mukmin adalah apabila makanannya dari makanan yang suci (halal). Dengan makanan yang suci, akan membersihkan amalannya. Makanan yang haram akan merosak amalan dan menjadikan amalan seseorang itu ditolak. Selagi mana makanan seseorang itu suci dan halal, amalan solehnya pasti diterima dan begitulah sebaliknya.
  • Contoh yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w tentang amalan yang ditolak adalah amalan doa yang dipanjatkan oleh seorang hamba. Doa adalah perkara yang dijanjikan dengan ijabah, tetapi mestilah terpenuhi syaratnya. Firman Allah s.w.t: ((dan tuhanmu telah berfirman: mintalah kepadaKu, nescaya akan Ku kabulkan)). Firman Allah s.w.t : ((sekiranya seorang hambaKu bertanya kepadamu tentangKu, katakanlah sesungguhnya Aku sangat dekat, Aku memperkenankan permintaan orang yang berdoa tatkala dia meminta kepadaku)). Syarat doa yang paling utama adalah: makan dari makanan yang halal.

Sumber: Jami Ulum wal Hikam – Hadis ke sepuluh

 

6 Syawal 1437h /11.08 p .m/Paya Jaras

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *