Seorang perempuan haid selepas masuk waktu solat dan dia belum menunaikan solat tersebut, adakah dia perlu qodho solat tersebut apabila telah suci?
Sekiranya seorang perempuan didatangi haid dan seumpamanya selepas masuk waktu solat, maka wajib ke atasnya mengqodho solat tersebut apabila telah suci sekiranya: tempoh yang dilaluinya selepas masuk waktu solat mencukupi baginya menunaikan solat secara sempurna. Sekiranya tempoh yang dilalui selepas masuk waktu solat itu tidak mencukupi untuknya melakukan solat tersebut secara sempurna, maka kewajipan solat waktu tersebut gugur dan tidak perlu diqodho. Ini merupakan pandangan di dalam Mazhab As-Syafie.
Di antara hujah yang diutarakan adalah bahawa ibadat solat menjadi wajib dengan masukknya waktu, ke atas orang yang memiliki “keahlian wajib”, dan seorang perempuan sebelum didatangi haid, dia adalah dari kalangan orang yang memiliki “keahlian wajib”, maka wajib ke atasnya mengqhodo solat sekiranya tidak dilakukan pada waktu pertama.
Pandangan Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, dan pandangan yang dipilih oleh Syeikul Islam Ibnu Taymiyah : Tidak perlu qhodo solat bagi perempuan yang haid selepas masuk waktu solat atau dipertengahan waktu solat sedang dia belum lagi menunaikan solat waktu tersebut.
Di antara hujah yang diutarakan adalah bahawa qhodo solat itu mestilah thabit dengan perintah yang baru, dan dalam kes ini tiada perintah yang menyuruh perempuan tersebut untuk mengqhodo solatnya. Ini kerana hukum melewatkan solat selagi masih di dalam waktu adalah perkara yang harus, maka dia tidak dikira sebagai mufrit (mengambil mudah atau melampaui batas) dalam melewatkan solatnya.
Wallahu a’lam.
Sumber:
Busyro Karim (Syarah Muqoddimah Hadromiah)