Qodho solat: segera atau boleh ditangguh?

Adakah qodho solat wajib dilakukan segera (ala alfaur) ataupun ianya boleh ditangguhkan perlaksanaannya pada waktu yang lain (ala at-tarakhi)?

Jawapan berikut adalah mengikut mazhab as-Syafie.

1- Meninggalkan solat secara uzur:

Imam Nawawi menyatakan: seseorang yang meninggalkan solat dengan uzur (tertidur, terlupa dan seumpamanya), maka hendaklah dia mengqhodonya, dan dibolehkan atasnya melaksanakan qodho tersebut secara at-tarakhi. Tetapi digalakkan (dianjurkan) baginya untuk melakukan qodho tersebut al-faur (segera).

Imam al-Baghawi menyatakan padangan jumhur ulama as-Syafiiyah (ashab) adalah boleh qodho dilakukan secara at-tarakhi. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imran Bin Husain r.a bahawa beliau berkata:

قال: (كنا في سفر مع النبي صلى الله عليه وسلم، وإنا أسرينا , حتى إذا كنا في آخر الليل وقعنا وقعة ولا وقعة أحلى عند المسافر منها , فما أيقظنا إلا حر الشمس , فلما استيقظ النبي -صلى الله عليه وسلم- شكوا إليه الذي أصابهم قال: لا ضير – أو لا يضير – ارتحلوا فارتحل فسار غير بعيد , ثم نزل , فدعا بالوضوء فتوضأ , ونودي بالصلاة , فصلى بالناس)

Yang bermaksud: “satu ketika kami di dalam permusafiran bersama Nabi s.a.w, dan kami berjalan di waktu malam sehingga apabila malam telah larut kami berkenti di satu tempat yang sangat baik untuk orang yang bermusafir beristirehat (lalu kami pun tidur). Maka keesokan harinya kami dikejutkan oleh cahaya matahari yang hangat. Maka tatkala Nabi s.a.w terjaga, para sahabat mengadu kepada Baginda tentang perkara yang menimpa mereka (lewat bangun sehingga terlepas solat subuh), lalu Baginda bersabda: ((tidak mengapa, bersegeralah meneruskan perjalanan)). Maka Baginda meneruskan perjalanan tidak berapa jauh, kemudian Baginda berhenti, lalu baginda meminta air untuk berwudhu, kemudian azan dilaungkan, lalu Baginda mengimami mereka (solat subuh yang digantikan)”.

Imam Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari menyatakan bahawa perintah Baginda s.a.w kepada para sahabat untuk bersegera meneruskan perjalanan adalah dalil bahawa dibolehkan mengta’hirkan qodho solat melepasi waktu awal (iaitu waktu segera), dengan syarat solat tersebut tidak ditinggalkan kerana meremehkannya.

2- Meninggalkan solat tanpa sebarang keuzuran:

Terdapat khilaf di dalam mazhab as-Syafie:

Jumhur Iraqiyyin menyatakan dibolehkan qhodo secara at-tarakhi tetapi dianjurkan bersegera dalam melakukannya, sama halnya dengan orang yang meninggalkan solat dengan keuzuran.

Jumhur khurasaniyyin menyatakan diwajibkan ke atasnya melakukan qhodo dengan segera. Imam al-Haramain menyatakan pandangan ini adalah pandangan yang disepakati oleh ashab (ulama) as-Syafie.

5 Syawal 1437h

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *